suria

MPEN akan Bekerja Dengan Agensi Pelaksana Dalam Masa 3-4 Bulan Akan Datang

PUTRAJAYA: Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN), yang memuktamadkan pelan induk transformasi ekonomi Malaysia melalui Model Baru Ekonomi (MBE), kini akan bekerja dengan agensi pelaksana dalam masa tiga hingga empat bulan akan datang bagi cadangan yang dibuat dalam usaha negara mencapai status negara berpendapatan tinggi pada 2020.

Pengerusinya Senator Tan Sri Amirsham A. Aziz berkata MPEN akan juga bekerjasama dengan Unit Pengurusan Pretasi dan Perlaksanaan (PEMANDU), yang akan bertindak sebagai agensi penyelaras dan pemantauan bagi memastikan pelaksanaan oleh pelbagai kementerian dan agensi.

"MPEN telah menggariskan 56 cadangan dalam MBE, dengan yang paling penting adalah mencapai hasil," kata beliau pada sidang media selepas pelancaran laporan Model Baru Ekonomi Untuk Malaysia Bahagian Akhir: Langkah Dasar Strategik di sini pada Jumaat.

Amirsham berkata demikian sebagai menjawab soalan mengenai jumlah cadangan yang akan dilaksanakan dengan segera. Semasa taklimat sebelumnya kepada editor-editor, beliau berkata dalam melaksanakan MBE: "Kita berharap kerjasama sepenuhnya daripada agensi-agensi, pihak berkuasa berkenaan dan kemenetrian-kementerian."

Memandangkan pentingnya mengubah ekonomi bagi Malaysia untuk menjadi negara maju, rakyat Malaysia seharusnya mengelak daripada berdebat mengenai MBE dalam konteks yang salah seperti melagakan satu kumpulan mereka yang berkepentingan atau satu kumpulan kaum kerana "apa yang kami lakukan untuk memberi kebaikan ekonomi untuk semua rakyat Malaysia".

Beliau berkata jika rakyat boleh mengelak debat berkaitan kaum dan isu lain yang berkait dengan MBE, "bolehlah ia dilaksanakan".

Amirsham menegaskan bahawa MBE bukan berasaskan projek tetapi lebih kepada perubahan dalam ekonomi yang bertujuan menjana pertumbuhan, pekerjaan serta peluang ekonomi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain