suria

Mahkamah Tetapkan 10 Disember Putuskan Permohonan Measat

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 10 Dis untuk memutuskan berhubung permohonan Measat Broadcast Network Systems Sdn Bhd untuk menangguhkan prosiding satu saman yang mendakwa ia telah melanggar satu 'perjanjian tidak boleh dedah'.

Hakim Datuk Azahar Mohamed hari ini menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan oleh peguam Measat N. Navaratnan dan peguam AV Asia Sdn Bhd Firoz Hussein Jamaluddin.

AV Asia, pembekal peralatan sokongan, menyaman Measat, dengan mendakwa bahawa anak syarikat Astro itu telah mendedahkan maklumat sulit kepada Tele System Electronic, defendan kedua.

Pada 28 Sept, Av Asia memfailkan saman kerana dikatakan melanggar perjanjian tidak boleh dedah mengenai gangguan hujan, satu sistem yang direka bagi mengurangkan gangguan terhadap pemancaran satelit.

Azahar juga menetapkan hari yang sama bagi sebutan berhubung kes injunksi yang difailkan AV Asia untuk menghalang kedua-dua defendan daripada menggunakan maklumat sulit berhubung produk berdefinisi tinggi kepada Astro Beyond.

Permohonan Tele System Electronic untuk membatalkan saman itu juga akan disebut pada hari itu.

Sementara itu, Navaratnam berhujah perkara itu perlu didengar timbang tara dan bukan mahkamah kerana seperti dipersetujui sebelum ini di bawah perjanjian tidak boleh dedah antara AV Asia dan Measat.

Bagaimanapun, Firoz berkata perkara itu tidak boleh dirujuk kepada timbang tara kerana tiada perjanjian timbang tara yang wujud antara AV Asia dan Tele System Electronic. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain