suria

Komuniti Peniaga Tandatangan Ikrar Cegah Rasuah 9 Disember

PUTRAJAYA: Ikrar integriti yang akan ditandatangani komuniti peniaga pada 9 Disember ini diharap dapat meningkatkan keyakinan masyarakat dalam dan luar negara terhadap usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memerangi rasuah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Sutinah Sutan berkata, ikrar itu akan ditandatangani persatuan peniaga sebelum diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijadual hadir menyaksikan majlis tersebut.

"Kita hendak memastikan bahawa peniaga di Malaysia bersih dari sebarang unsur rasuah kerana kita nak mempamerkan kepada masyarakat antarabangsa bahawa melabur di Malaysia tidak memerlukan apa-apa bayaran tambahan," katanya pada sidang akhbar mengenai program itu, di sini Jumaat.

Katanya, deklarasi akan ditandatangani oleh presiden persatuan iaitu Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian China Malaysia (ACCCIM), Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI), Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dan Dewan Perniagaan Antarabangsa dan Perindustrian Malaysia.

Sutinah berkata, program itu diadakan bersempena Hari Pencegahan Rasuah Sedunia.

Sementara itu Anggota Majlis Kebangsan ACCCIM Wong Pui Lam berkata, mereka akan mengedarkan kandungan ikrar kepada semua anggota mengenai kesan buruk amalan rasuah dalam perniagaan.

Timbalan Presiden DPMM Datuk Mohd Alaydudin Hassan pula berkata dewan itu telah melakukan pelbagai program untuk mengekang amalan rasuah.

"Majoriti anggota kami adalah Muslim, jadi mereka sangat peka kesan atau akibat amalan korupsi ini," katanya.

Dalam pada itu Ketua Pegawai Eksekutif FMM Lee Cheng Suan pula berkata, selain mengadakakn pelbagai program, pihaknya turut menerbitkan brosur mengenai rasuah yang kemudian diedarkan kepada semua anggotanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain