suria

Kes Kugan: Mahkamah Tangguh Keputusan Ke Atas Konstabel Navindran

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini menangguhkan keputusan ke atas Konstabel V. Navindran yang didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang tahanan polis, A. Kugan, kepada 28 Januari depan.

Hakim Aslam Zainuddin menetapkan tarikh baru itu selepas berjumpa dengan pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi dan pihak pembelaan yang diwakili peguam Datuk P.M. Nagarajan dalam kamarnya.

Nagarajan ketika ditemui pemberita pada Jumaat, berkata hakim memberitahu kedua-dua pihak bahawa mahkamah belum bersedia untuk menyampaikan keputusan tersebut.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan pada Jumaat untuk memutuskan sama ada tertuduh membela diri atau dilepaskan daripada dua pertuduhan menyebabkan kecederaan parah ke atas Kugan, 23, suspek kes curi kereta mewah yang meninggal dunia ketika dalam tahanan polis.

Navindran, 28, dituduh melakukan kesalahan itu di bilik soal siasat D9, Balai Polis Taipan USJ, Subang Jaya antara 7 pagi hingga 4 petang pada 16 Januari tahun lepas.

Dia yang mengaku tidak bersalah didakwa mengikut Seksyen 331 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Bagi dua pertuduhan pilihan menyebabkan cedera kepada Kugan, Navindran turut mengaku tidak bersalah di tempat dan tarikh sama mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan. Prosiding bicara itu yang turut dibantu Timbalan Pendakwa Raya Lailawati Ali dan Abazafree Mohd Abbas berlangsung selama 25 hari, bermula 18 Februari lalu dan mengemukakan 24 saksi pendakwaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain