suria

Dr M: Francais Mampu Lahir Lebih Ramai Usahawan

PUTRAJAYA: Perniagaan dengan konsep francais merupakan kaedah terbaik dalam usaha kerajaan melahirkan lebih ramai usahawan terutama dari kaum-kaum yang kurang menceburi bidang itu, kata mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, dengan kadar risiko yang lebih rendah, perniagaan francais lebih mudah dan selamat diceburi oleh mana-mana pihak terutama mereka yang kurang berpengalaman.

"Kaedah ini amat baik kerana mereka tidak perlu membuat kaji selidik malah cara-cara perniagaan telah ditentukan oleh francaisor dan mereka hanya perlu menyediakan modal dan tempat," katanya pada Majlis Makan Malam Seribu Harapan (MaSeH) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini malam ini.

Dr Mahathir yang juga Penaung Persatuan Francais Malaysia (MFA) berkata dengan menambah bilangan usahawan terutama dari kalangan kaum-kaum yang kurang menceburi bidang perniagaan, ia secara tidak lansung dapat menyumbang kepada penyatuan kaum-kaum di negara ini.

"Kaedah ini dapat merapatkan kaum-kaum di negara ini terutama di bandar-bandar besar apabila mereka ini berniaga bersama-sama di kawasan yang sama," katanya.

Beliau berkata, konsep francais kini tidak hanya terhad kepada perniagaan dari luar negara, malah turut melibatkan syarikat-syarikat tempatan.

Dr Mahathir berkata, lebih membanggakan apabila syarikat tempatan kini mampu membuka francais di luar negara dan berharap lebih banyak syarikat tempatan akan menurut jejak langkah tersebut.

MaSeH yang dianjurkan oleh MFA dengan kerjasama D'Tandoor Food Industries Sdn Bhd (D'Tandoor) itu berjaya mengumpulkan wang sebanyak RM150,000 termasuk dari penajaan syarikat yang diserahkan kepada Yayasan Sultanah Bahiyah untuk membantu mangsa banjir di negeri Kedah.

Turut hadir ialah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Mahathir dan Pengerusi MFA Abdul Malik Abdullah.

Seramai 150 anak yatim serta warga kelainan upaya turut diraikan dalam majlis itu.

Artikel Sebelum