suria

Doktor Palsu Tidak Mengaku Salah Mencabul

KLANG: Seorang bekas tentera yang ditahan semasa menyamar sebagai seorang doktor dan merawat seorang pesakit yang hendak bersalin, didakwa atas pertuduhan mencabul di Mahkamah Majistret di sini, Jumaat.

Hilme Abdul Hamid, 41, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut yang dibacakan di hadapan Majistret Afifah Mamat @ Yusuf.

Tertuduh yang beralamat di Bandar Baru Shah Alam, dekat sini didakwa mencabul seorang staf wanita sebuah klinik di Bukit Kapar Timur, Kapar di sini, pada pukul 7.30 petang, 14 November lalu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan semasa mangsa yang berusia 18 tahun itu mahu mendapatkan nasihat kerana bimbang menghidap kanser payudara.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Shahrul Ekhsan Hasim menawarkan jaminan RM20,000 terhadap tertuduh kerana tertuduh sedang disiasat bagi kesalahan menyamar sebagai doktor dan berkemungkinan akan didakwa di mahkamah bagi kesalahan itu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya jumlah itu dikurangkan.

“Isteri saya tidak bekerja dan saya menanggung sembilan orang anak,” katanya.

Afifah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 4 Januari depan sebagai sebutan semula kes untuk tertuduh melantik peguam.

Pada 1 Disember lalu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Supritendan Mohamad Shukor Sulong mengeluarkan kenyataan bahawa seorang bekas tentera yang menyamar sebagai doktor sejak dua tahun lepas ditahan.

Suspek ditahan pada pukul 11.30 pagi 22 November lepas ketika sedang merawat seorang pesakit yang hendak bersalin.

Mohamad Shukor berkata siasatan lanjut mendapati suspek bukan seorang doktor dan hanya memiliki diploma pembantu perubatan dari sebuah kolej di Seremban, Negeri Sembilan sebelum diterima masuk dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Katanya, suspek berhenti kerja pada 2006 semasa bertugas sebagai pembantu perubatan di sebuah hospital tentera di Melaka dan sejak itu dia mula menyamar sebagai doktor di beberapa buah klinik

Suspek yang berasal dari Sendayan, Negeri Sembilan juga dikatakan sentiasa berpindah-randah dengan bekerja sebagai pakar perubatan di beberapa klinik di sekitar Lembah Klang bagi mengelakkan kegiatan liciknya dikesan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain