suria

Bekas Timbalan Pendakwa Raya Dipenjara 12 Bulan

KLANG: Seorang bekas Timbalan Pendakwa Raya dihukum penjara 12 bulan selepas disabitkan bersalah atas tuduhan cuba melupuskan sebuah kereta mewah isterinya yang dilaporkan hilang akibat dicuri.

Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Yong Zarida Sazali memerintahkan hukuman terhadap Lukman Zainuddin, 37, bermula Jumaat.

Yong Zarida juga memerintahkan Lukman, yang menjawat jawatan tersebut daripada 1997 hingga 2002 membayar denda RM2,000 atau berhadapan dengan penjara tiga bulan, jika gagal menjelaskan denda.

Hukuman itu dijatuhkan selepas Yong Zarida mendapati pembelaan yang dikemukakan oleh Lukman gagal untuk menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan.

Perbicaraan sebelum ini melibatkan 14 saksi pendakwaan, termasuk isteri Lukman, Siti Zarina Abdul Manaf yang merupakan seorang peguam.

Lukman tidak memanggil saksi lain untuk menyokong keteranganya yang diberikan secara bersumpah dari kandang saksi selepas dipanggil membela diri pada 19 Ogos lalu.

Bagaimanapun, Yong Zarida membenarkan permohonan peguam Lukman, Azizul Shariman Mat Yusoff untuk menangguhkan hukuman penjara kerana akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi.

Yong Zarida juga membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh terpakai dalam permohonan penangguhan itu.

Lukman didakwa atas tuduhan cuba melupuskan kereta BMW 318(i)(A) bernombor pendaftaran ADT 6677 pada antara pukul 11 malam, 24 Mac dan 12.15 tengah malam, 25 Mac 2006 di Pangsapuri Putra Harmoni di Presint 9, Putrajaya, dekat sini.

Sebelum hukuman dijatuhkan, Azizul Shariman merayu mahkamah untuk mempertimbangkan latar belakang tertuduh dan tidak menjatuhkan hukuman penjara.

“Hukuman penjara akan menyebabkan tertuduh dibuang kerja yang bukan sahaja memberi kesan kepada tertuduh, tetapi juga kepada isteri dan empat orang anak mereka.

“Ini merupakan kesalahan kali pertama tertuduh dan ia tidak melibatkan kecederaan mahupun keganasan. Kereta yang terlibat juga adalah milik tertuduh yang didaftarkan atas nama isterinya,” kata Azizul.

Tambah beliau, kehilangan kereta itu bukan disebabkan oleh Lukman dan sehingga kini pencuri kereta masih belum diketahui.

Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff yang mengendalikan pendakwaaan pula memohon supaya mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal atas kesalahan yang dilakukan.

“Sebagai seorang pegawai undang-undang, tertuduh sepatutnya menjadi penjaga kepada undang-undang, sebaliknya tertuduh sendiri yang melanggarnya.

“Hukuman setimpal diperlukan sebagai pengajaran kepada pegawai undang-undang untuk memberi pengajaran supaya berhati-hati dengan perbuatan sendiri kerana undang-undang tidak mengenal kedudukan,” tambah beliau.

Artikel Sebelum

Artikel Lain