suria

Raja Permaisuri Agong Bangga Rakyat Malaysia Bersifat Penyayang

KUALA TERENGGANU: Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah melahirkan rasa bangga kerana dalam kesenangan dan keselesaan hidup yang dinikmati hari ini, ramai insan yang memerlukan sokongan dan bantuan untuk meneruskan kehidupan, tidak dilupakan.

"Beta amat berbesar hati kerana rakyat Malaysia pada umumnya adalah masyarakat yang penyayang, bersifat pemurah dan sanggup membantu mereka yang kurang bernasib baik sama ada melalui pendermaan wang ringgit, barangan mahupun masa," titah Seri Paduka Baginda pada sambvuta ulang tahun ke-10 Persatuan Hospits Terengganu di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa Pulau Duyong di sini, Khamis.

Tuanku Nur Zahirah, yang juga penaung Persatuan Hospis Terengganu, turut bertitah bahawa peranan ahli keluarga amat penting dalam usaha membantu pesakit kanser mengharungi derita terutama dalam memberi sokongan moral bagi mengelak pesakit berasa lebih tenat dan tertekan.

Seri Paduka Baginda berharap setiap anggota keluarga lebih peka dengan perubahan diri pesakit dari semasa ke semasa agar masalah yang dihadapi dapat diatasi.

Tuanku Nur Zahirah meminta setiap ahli persatuan itu supaya bersama-sama anggota keluarga pesakit bagi membantu pesakit menjalani hari-hari mendatang dengan satu kehidupan yang lebih bermakna dan ceria.

Yang Dipertua Hospis Terengganu Toh Puan Dr Rahmah Elias dalam ucapannya sebelum itu berkata, majlis itu diadakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai aktiviti persatuan selain memberi peluang kepada pesakit, penjaga dan ahli persatuan untuk beramah mesra dengan Raja Permaisuri sebagai penaung persatuan.

Persatuan Hospis Terenggnau ditubuhkan pada 1999 bertujuan membantu pesakit kanser terminal yang memerlukan perhatian serta penjagaan yang berkualiti oleh keluarga dan masyarakat dalam aspek fizikal, emosi, psikologi, sosial dan kerohanian.

Pada majlis itu, kumpulan syarikat Titi Jaya menyampaikan bantuan RM75,000 kepada Persatuan Hospis Terengganu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain