suria

Penganggur Dipengaruhi Dadah Ditahan Miliki Pistol Tanpa Lesen

KLANG: Polis menahan seorang penganggur yang berada dalam pengaruh dadah kerana memiliki sepucuk pistol tanpa lesen dalam satu serbuan di sebuah rumah di Rantau Panjang, Kapar di sini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Supritendan Mohamad Shukor Sulong berkata, sebelum itu rakan kepada suspek membuat laporan kepada Balai Polis Bukit Raja di sini memaklumkan suspek mengugutnya dengan sepucuk pistol dipercayai kerana berebut wanita.

"Rakan suspek datang dengan membawa tujuh butir peluru yang dikeluarkan dari pistol milik suspek yang ketika itu sedang khayal di bawah pengaruh dadah ke balai dan memberitahu dia diugut bunuh.

"Sebaik menerima laporan itu sepasukan anggota polis menyerbu rumah berkenaan dan menjumpai sepucuk pistol jenis Norinco buatan China dan menahan suspek yang berumur 27 tahun," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut turut menemui pelbagai peralatan dipercayai untuk menggunakan dadah seperti alat untuk menghisap syabu, plastik lutsinar disyaki mengandungi syabu dan alat penimbang.

Mohamad Shukor berkata, pengadu (rakan kepada suspek) yang berusia 25 tahun turut ditahan selepas ujian air kencingnya mendapati dia positif dadah.

Beliau berkata, suspek yang tinggal di Bayu Perdana di sini dan tidak bekerja itu direman sehingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut termasuk mengenal pasti dari mana suspek memiliki pistol itu dan kemungkinan ia turut digunakan untuk kegiatan jenayah.

Sementara itu dalam kes berasingan, Mohamad Shukor berkata polis turut menahan seorang lelaki berusia 40 tahun selepas pemeriksaan di rumah lelaki berkenaan membawa kepada penemuan sepucuk pistol jenis Browning dan satu kelopak peluru serta 11 butir peluru hidup disorok dalam tin biskut di sebuah rumah di Klang Utama.

Beliau berkata, serbuan itu dilakukan hasil maklumat oleh Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara 22 Nov lepas.

Katanya, polis turut menemui syabu seberat 1.7 gram dan pil Eramin 5 seberat 0.5 gram.

Suspek yang juga seorang penganggur serta didapati positif dadah mempunyai dua rekod jenayah lampau iaitu khianat dan mendatangkan kecederaan ditahan reman sehingga hari ini.

"Kita menahan suspek di rumah teman wanitanya yang berusia 30 tahun. Bagaimanapun wanita terbabit dibebaskan apabila soal siasat kita mendapati dia tiada kaitan dalam kes itu," katanya.

Kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti lebih berat) 1971 kerana memiliki pistol dan boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain