suria

Pembantu Penguatkuasa LPKP Tidak Mengaku Rasuah

SHAH ALAM: Seorang pembantu penguatkuasa Lembagan Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meminta rasuah RM100 daripada seorang pemandu teksi.

Pengakuan Syed Mohd Fariq Syed Azman, 24, direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Azhaniz Teh Azman Teh pada Khamis.

Tertuduh didakwa meminta wang tersebut daripada Zahreen Zainal pada pukul 1.30 petang, 8 April lalu di ibu pejabat LPKP di Putrajaya, dekat sini.

Suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk tertuduh tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap Zahreen yang dikatakan telah melakukan satu kesalahan di bawah Akta LPKP 1987.

Pendakwaan terhadap tertuduh dikendalikan Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Hung Heng Hong mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang diwakili peguam Stanley C Augustin merayu supaya mahkamah mengurangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin yang ditawarkan oleh Hung.

“Tertuduh hanya memperoleh pendapatan sebanyak RM1,300 sebulan yang digunakan untuk menyara isteri yang tidak bekerja,” katanya.

Azhaniz Teh membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 10 Januari depan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain