suria

Kedudukan Asia Mampu Cergaskan Semula Promosi Perdagangan - Najib

KUALA LUMPUR: Rantau Asia berada pada kedudukan yang baik untuk mencergaskan semula peranannya dalam meningkatkan hubungan perdagangan di kalangan negara dan merentas benua, ketika ia meluaskan pengukuhan ekonominya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bagi 2011, Tabung Kewangan Antarabangsa mengunjurkan keluaran negara kasar negara-negara perindustrian berkembang sebanyak 2.2 peratus berbanding 6.4 peratus pertumbuhan yang diunjurkan bagi ekonomi membangun yang diketuai China dan India.

Ini, serta petunjuk lain, menunjukkan bahawa walaupun menghadapi krisis ekonomi dunia baru-baru ini, ekonomi Asia mencatat pertumbuhan yang baik, selain terdapat peningkatan dagangan dan pelaburan sesama negara di Asia.

"Ketika kita bersama-sama melangkah ke depan, kejayaan laluan sutera dan rempah yang maju sejak dua milinium yang lepas memberikan kita inspirasi, bagaimana ia mempromosi pertukaran kekayaan, kebudayaan dan pengetahuan di seluruh dunia," kata Najib dalam ucaptama pada Forum Perniagaan Antarabangsa China di sini, Khamis.

Ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Forum itu dianjurkan oleh Gabungan Dewan Perniagaan dan Industri China Malaysia bersama-sama Miti dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia.

Najib berkata impak positif faktor saling bergantungan ke atas masyarakat, berperanan untuk mengingati bahawa masa depan rantau ini bergantung kepada kemakmuran dan sumbangan setiap negara kepada pelbagai kitaran pertumbuhan ekonomi, pewujudkan kekayaan dan kemajuan.

"Oleh itu, kita perlu terus mencari jalan untuk bekerjasama antara satu sama lain," katanya.

Bagi Malaysia, hubungan dagangannya dengan negara Asia telah bekembang pesat, dengan perdagangan dua hala dengan China, Hong Kong, Taiwan dan Singapura mencecah US$92.6 bilion, iaitu 33 peratus jumlah dagangan dunia Malaysia.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2010, dagangan Malaysia dengan ekonomi ini berkembang 36 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2009.

Selain meningkatkan perdagangan, Najib berkata pelaburan dari Singapura, Taiwan, China dan Hong Kong ke Malaysia juga meningkat.

"Kami yakin pengumuman baru-baru ini seperti perakuan China terhadap Malaysia sebagai destinasi pelabur institusi yang diluluskan, selain pembukaan cawangan baharu bank-bank serantau di Malaysia, akan memudahkan dan mengukuhkan pelaburan ini," kata Najib.

Perdana Menteri menegaskan bahawa projek baharu Program Transformasi Ekonomi yang diumumkan setiap bulan, akan menyemarakkan lagi minat pelabur.

Inisiatif bersama China baru-baru ini membabitkan usaha sama dengan kerajaan China bagi mewujudkan pusat kecemerlangan perubatan China Tradisional untuk meningkatkan kerjasama dengan Kementerian Pelajaran China ke arah meningkatkan standard pendidikan tahap kolej di kedua-dua negara. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain