PETALING JAYA: Bayaran premium insurans kesihatan sebanyak RM120 setahun yang diwajibkan kepada semua pekerja asing di negara ini, kecuali pembantu rumah domestik, mulai 1 Januari depan wajar ditanggung sepenuhnya oleh pihak majikan.Pengarah Kajian Sosiologi Indonesia di negara ini, Khairuddin Harahap berkata, ini kerana pekerja asing sekarang diwajibkan mendapatkan perlindungan insurans di bawah Skim Pampasan Pekerja Asing dengan bayaran premium sebanyak RM75. Katanya, majoriti mereka yang bekerja sebagai pembantu rumah membayar sendiri RM75 manakala buruh binaan dan peladang menanggung sepenuh kos premium itu.Katanya, selain itu, sesetengah mereka seperti buruh binaan menanggung sendiri levi sebanyak RM1,325 setahun manakala mereka yang bekerja di bawah sektor perkhidmatan, RM1,825 setahun."Mereka takut RM120 dipotong dari gaji mereka lagi. Kalau ditanggung sepenuhnya oleh majikan, tidak ada masalah kerana ia demi menjaga kebajikan mereka," katanya kepada mStar Online.Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai baru-baru ini bahawa semua pekerja asing di negara ini, kecuali pembantu rumah domestik, wajib mendapatkan insurans kesihatan mulai 1 Januari depan.Liow dilapor berkata, pelaksanaan langkah itu bagi memastikan tunggakan bayaran bil hospital yang kini mencecah RM18 jutatidak membebankan kerajaan.Sementara itu, Presiden Persatuan Pembekal dan Pengurusan Tenaga Kerja Asing Malaysia (Tekam), Datuk Baharom Abdul Ghani meminta kerajaan mengkaji semula arahan tersebut kerana ia hanya menguntungkan syarikat insurans.Jelasnya, syarikat insurans akan mengutip kira-kira RM240 juta setahun berdasarkan bayaran premium maksimum RM120 setahun melibatkan dua juta pekerja asing di negara ini.Untuk mencapai jalan tengah, Khairuddin mencadangkan supaya insurans kesihatan itu dijadikan suatu pilihan kepada pekerja asing."Sebagai jalan tengah, ia tidak perlu diwajibkan. Siapa yang nak ambil, silakan," katanya yang juga Pengarah Lembaga Pengkajian Masalah Sosial Pekerja Indonesia di Malaysia.Mengenai kemungkinan bayaran premium tersebut dikongsi sama rata antara pihak majikan dan pekerja, Khairuddin berkata ia masih boleh dirundingkan.