suria

Imigresen Akan Tubuh Unit Pematuhan Bagi Perkukuh Integriti

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia akan menubuhkan Unit Pematuhan bagi memperkukuh integriti serta penguatkuasaan dalaman terhadap kakitangannya yang melanggar peraturan atau undang-undang.

Ketua Pengarahnya, Datuk Alias Ahmad berkata, selain itu jabatan itu juga turut menggunakan penggunaan sistem teknologi atas talian dalam usaha membantu meminimumkan bebanan tugas anggota jabatan itu.

Ini adalah antara usaha yang dijalankan oleh jabatan itu dalam mentransformasikan jabatan itu bersesuaian dengan program transformasi di peringkat nasional seperti yang disarankan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hishammuddin semalam pada majlis sambutan Hari Imigresen di Putrajaya berkata kepimpinan baru Jabatan Imigresen turut diberi tempoh sebulan untuk menggariskan perancangan, pembaharuan dan penambahbaikan yang akan dilakukan terhadap jabatan itu, yang perlu dibentangkan kepadanya pada Januari depan.

Alias yang turut menyambut baik saranan Hishammuddin itu berkata: "Program transformasi Imigresen memberi fokus kepada tiga aspek utama iaitu semangat dan gagasan 1Malaysia yang berkonsep "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan", perubahan paradigma dalam memahami fungsi dan peranan Jabatan Imigresen dan prinsip Istiqamah dalam melaksanakan slogan jabatan "Perkhidmatan Berkualiti dan Berintegriti."

Katanya melalui teras ini, jabatan itu sedang merangka perkhidmatan yang menjurus kepada gagasan tersebut dan antara usahanya ialah untuk mempergiatkan usaha yang mampu menarik tenaga pakar dan pelabur asing untuk berkhidmatan di negara ini dengan pelbagai kemudahan termasuk kelulusan automatik permohonan pegawai dagang yang bergaji RM8,000 ke atas.

Alias berkata, jabatan itu juga turut merancang insentif baru dalam menjaga kebajikan kakitangannyan pada masa hadapan seperti menyelaraskan elaun-elaun, selain keperluan logistik dan kuarters kakitangan yang turut menjadi perhatian.

"Penganugerahan pangkat kepada kakitangan Imigresen yang berkhidmat dengan penuh integriti merupakan satu modal insan yang diharapkan dapat memberi motivasi kepada pegawai-pegawai tersebut," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain