suria

Geng Samun Kedai Serbaneka Di Petaling Jaya Tumpas

PETALING JAYA: Hasil maklumat awam, sekumpulan lima lelaki yang aktif menyamun kedai serbaneka 24 jam di sekitar daerah ini sejak tiga bulan lepas, berjaya ditangkap dalam dua operasi pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata tiga daripada mereka ditangkap di sebuah rumah di Kampung Subang pada pukul 1 tengah hari, manakala dua lagi ditahan di Desa Mentari kira-kira dua jam kemudian.

"Mereka berumur antara 19 dan 37 tahun. Turut dirampas 274 kotak rokok pelbagai jenis, 38 paket bateri dan beberapa paket pencukur dianggar bernilai RM4,000," katanya kepada pemberita, di sini, Khamis.

Beliau berkata polis juga tidak menolak kemungkinan kumpulan itu terlibat jenayah ragut berikutan penemuan beberapa kad pengenalan milik orang lain ketika serbuan.

Arjunaidi berkata hasil siasatan, pihaknya menahan seorang peniaga runcit lelaki warga asing pada keesokan harinya di Puchong, selepas dipercayai bersubahat membeli hasil samun tersebut.

"Dengan tumpasnya kumpulan ini kita berjaya menyelesaikan 15 kes samun di sekitar Petaling Jaya," katanya.

Arjunaidi berkata empat daripada kumpulan penyamun itu juga mempunyai rekod jenayah lampau iaitu mencuri kenderaan dan menyamun.

Mengenai modus operandi kumpulan, beliau berkata mereka melakukan samun pada awal pagi ketika kedai-kedai berkenaan tiada pelanggan.

"Suspek akan memasuki premis tersebut sebagai pelanggan sebelum menyamun manggunakan parang dan pisau," katanya menambah kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dan menggunakan senjata berbahaya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain