suria

Empat Negeri Dapat Ketua Polis Baru

KUALA LUMPUR: Komander Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Senior Asisten Komisioner Datuk Chuah Ghee Lye dilantik sebagai Ketua Polis Melaka yang baru menggantikan Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof berkuatkuasa serta merta, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengumumkan hari ini.

Ismail berkata, Mohd Rodwan pula dilantik sebagai Timbalan Pengarah II Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Bukit Aman.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan pertukaran dan pelantikan tiga lagi Ketua Polis negeri yang berkuatkuasa serta merta termasuk Timbalan Pengarah 11 Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Seniro Asisten Komisioner Datuk Tajudin Md Isa yang dilantik sebagai Ketua Polis Perlis bagi menggantikan Deputi Komisioner Ghazali Md Amin yang dilantik sebagai Setiausaha PDRM Bukit Aman sejak 29 Oktober lepas.

Ismail berkata, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan Bahagian Latihan, Senior Asisten Komisioner Datuk Jamshah Mustapa dilantik sebagai Ketua Polis Terengganu menggantikan Datuk Mohd Shukri Dahalan yang dipindahkan ke Perak sebagai Ketua Polis baru negeri itu.

Mohd Shukri menggantikan Datuk Zulkifli Abdullah yang dilantik sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur pada 29 Oktober lepas, kata Ismail kepada pemberita selepas mesyuarat Suruhanjaya Pasukan Polis (SSP) yang dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di Bukit Aman di sini.

Ismail berkata, pertukaran tersebut adalah lanjutan daripada penstrukturan semula kenaikan pangkat dan pertukaran ketua dan timbalan ketua polis negeri yang dilakukan baru-baru ini, dan ia dibuat berdasarkan pengalaman masing-masing bagi melaksanakan tugas yang diamanahkan.

"PDRM berusaha untuk memperkukuhkan struktur serta perkhidmatan pegawai dan anggota dengan sokongan daripada Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam," katanya.

Menyentuh mengenai mesyuarat hari ini, Ismail berkata mesyuarat itu turut membincangkan langkah-langkah bagi memperkemas prosedur dan memperlihatkan ketelusan dalam urusan tatatertib, serta disiplin di kalangan anggota PDRM.

"Usaha ini penting bagi menunjukkan keseriusan polis dalam mengambil tindakan terhadap anggota dan pegawai yang melakukan salah laku sekaligus meningkatkan tahap profesional dan kepercayaan anggota masyarakat terhadap pasukan polis," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain