suria

Tindakan Ke Atas Pembeli Rokok Haram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan kini menimbang melaksanakan langkah lebih tegas dalam menangani gejala rokok haram termasuk mengenakan tindakan terhadap orang ramai yang didapati membeli, memiliki dan menggunakan bahan itu.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Hasan Abdul Rahman berkata, kementerian juga menimbang untuk mengharamkan pengimportan rokok yang jenamanya sering ditemui di pasaran sebagai rokok yang dibawa masuk secara haram.

"Kita akan berbincang dengan penasihat undang-undang sama ada langkah-langkah ini termasuk mengenakan tindakan kepada orang ramai boleh dilaksanakan. Buat masa ini hanya peniaga sahaja dikenakan tindakan," kata beliau pada sidang media, di sini hari ini.

Dr Hasan berkata, langkah lain yang turut dipertimbang ialah bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk menarik balik atau membatalkan lesen peniaga yang didapati menjual rokok haram itu.

Kesemua langkah ini dilihat perlu bagi membendung kemasukan rokok haram ke negara ini yang dipercayai meliputi 40 peratus daripada pasaran rokok tempatan. katanya. Dr Hasan berkata, gejala rokok haram itu bukan saja menjejaskan pendapatan negara tetapi juga boleh mengancam kesihatan pengguna.

Ini kerana kata beliau, paras kandungan tar dan nikotina dalam rokok haram tidak dipantau dan parasnya mungkin jauh melebihi daripada yang dibenarkan.

"Kementerian juga tidak menolak kemungkinan ia turut mengandungi bahan-bahan kimia yang berbahaya serta boleh menyebabkan pelbagai penyakit," katanya.

Dr Hasan menambah, sepanjang tahun ini sehingga Oktober lepas, pihaknya mengeluarkan 8,861 kompaun bernilai kira-kira RM1.9 juta kerana pelbagai kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Sebanyak 5,333 kes pula dibawa ke mahkamah dengan nilai rampasan RM148,723.37, katanya. Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penjualan rokok haram agar bekerjasama dengan kementerian itu dengan menghubungi infoline 03-8883 4400.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain