suria

Polis Tahan Tiga Lelaki Termasuk Dua Pelajar IPTS Disyaki Terbabit Kes Samun

KUALA TERENGGANU: Polis menahan tiga lelaki termasuk dua pelajar institusi pengajian tinggi swasta yang dipercayai terlibat dalam kes samun di sebuah kedai serbaneka T'Shoppe di Geliga, di Jalan Kuantan-Kemaman, pagi semalam.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, kejadian samun itu berlaku pada kira-kira pukul 6 pagi dan suspek yang berumur antara 20 dan 39 tahun itu ditangkap dalam beberapa serbuan di sekitar daerah ini beberapa jam kemudian.

Beliau berkata, ekoran penahanan itu polis berjaya menemui semula wang yang disamun, selain merampas beberapa senjata termasuk sepucuk pistol buatan sendiri serta butir peluru senapang patah.

"Ini merupakan antara kejayaan terbaik dan terpantas polis Terengganu," katanya kepada dalam persidangan media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Terengganu di sini hari ini.

Dalam kejadian pagi semalam, dua lelaki bersenjatakan pisau dan masing-masing memakai topi keledar serta topeng muka, melarikan dua peti yang mengandungi wang tunai RM2,500 dengan sebuah kereta Perodua Myvi.

Mohd Shukri berkata, bertindak terhadap maklumat yang diberikan oleh seorang pekerja mengenai nombor pendaftaran kereta Perodua MyVi yang digunakan, polis berjaya menahan seorang daripada suspek di sebuah rumah di Taman Perwaja, Cukai pada pukul 8.30 pagi.

Beliau berkata polis kemudian menyerbu ke rumah seorang lagi suspek di Taman Perwaja, Chukai dan berjaya menahannya ketika sedang bersembunyi di atas siling rumah.

Susulan penangkapan itu polis menahan seorang lagi lelaki berusia 39 tahun kira-kira pukul 2 petang semalam yang disyaki terlibat dalam membekal pistol kepada dua suspek itu.

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan bagi rompakan berkumpul dan rompakan dengan bersenjata atau menyebabkan kematian atau cedera parah, di samping Seskyen 8 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain