suria

Kereta Elektrik Proton Dilancarkan

KUALA LUMPUR: Kereta elektrik pertama Malaysia mulai terbentuk dengan siapnya prototaip kenderaan itu berdasarkan model Proton Saga terbaru.

Prototaip yang dlancarkan buat pertama kalinya hari ini, dibina dengan kerjasama antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan Proton, pembuat kereta nasional.

Pengarah Urusan Kumpulan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, prototaip itu memberikan mereka keyakinan untuk membuat kenderan elektrik yang lebih baik dan berharap ia akan dikeluarkan secara besar-besaran tidak lama lagi.

"Peringkat pertama pengesahan produk secara menyeluruh telah siap. Ini memberikan kami banyak keyakinan yang sistem itu akan berjaya digunakan sebagai sebuah kereta.

"Dan saya rasa peringkat berikutnya ialah ujian awal oleh orang ramai dan menambah jumlah produk, dan akhirnya kami akan melaksanakan pengeluaran besar-besaran," katanya kepada pemberita di luar acara Persidangan Antarabangsa Mengenai Mobiliti Mampan 2010 di sini hari ini.

Persidangan tiga hari yang bermula hari ini dan dianjurkan oleh SAE International Cawangan Malaysia dan UTM itu bertujuan memberikan peluang kepada peserta untuk bertukar-tukar ide, hasil kajian, menggalakkan perkongsian pengetahuan dan bekerjasama dalam bidang mobiliti mampan.

Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Zaini Ujang berkata, prototaip itu melalui penyelidikan dan pembangunan sejak 11 bulan lalu dan pengubahsuaian dimulakan dengan menukar model Saga yang menggunakan petrol menjadi kereta berkuasa elektrik sepenuhnya.

"Apabila siap kelak, kereta itu boleh membuat perjalanan hingga sejauh 160 kilometer menggunakan bateri 15 kilowat dan akan mengambil masa tujuh hingga lapan jam untuk mengecas semula dengan cara biasa," jelasnya.

Beliau berkata, kereta itu sesuai bagi perjalanan di bandar dan jarak dekat, dan ia mesra alam kerana ia tidak mengeluarkan bunyi atau asap. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain