suria

Denda Pembalakan Haram Naik Sehingga RM1 Juta

KUALA LUMPUR: Kadar penalti dan hukuman bagi kesalahan pembalakan haram akan ditingkatkan kepada RM1 juta dan penjara tidak kurang daripada lima tahun apabila pindaan ke atas Akta Perhutanan Negara 1984 dilaksanakan kelak.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan demikian berkata, pindaan akta itu sedang diperincikan oleh Jabatan Peguam Negara sebelum rang undang-undang berkenaan dibentangkan di Parlimen tahun depan.

"Mesyuarat (Majlis Tanah Negara) telah bersetuju untuk meminda Akta Perhutanan Negara 1984 bagi memantapkan penguatkuasaan undang-undang berkaitan perhutanan dalam membanteras pembalakan haram dan kesalahan hutan.

"Jabatan Peguam Negara akan mengkaji jumlah denda minimum sebelum rang undang-undang itu dibentangkan ke Parlimen," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tanah Negara ke-66 di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Berdasarkan peruntukan asal, denda tidak melebihi RM500,000 dan penjara tidak kurang daripada satu tahun tetapi tidak melebihi 20 tahun boleh dikenakan kepada mana-mana pihak yang didapati bersalah mengambil hasil utama hutan.

Justeru, katanya usaha-usaha positif yang telah dilaksanakan di bawah rancangan-rancangan Malaysia yang terdahulu wajar diteruskan oleh semua kerajaan negeri dalam RMK-10 bagi menjamin matlamat SFM dapat direalisasikan.

Muhyiddin berkata, Majlis Perhutanan Negara bersetuju bahawa CTT dalam HSK di bawah RMK-10 ditetapkan seluas 199,165 hektar atau 39,833 hektar setahun bagi Semenanjung Malaysia.

CTT bagi Sabah ditetapkan seluas 300,000 hektar atau 60,000 hektar setahun dan CTT bagi Sarawak ditetapkan seluas 775,000 hektar atau 155,000 hektar setahun, katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain