suria

Bapa Dipenjara Lima Tahun, Dua Sebatan Kerana Simbah Dua Anak Dengan Asid

KUALA TERENGGANU: Seorang penganggur hari ini dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan dua kali sebatan atas kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anaknya menggunakan asid, Ogos lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen M Bakri Abdul Majid menjatuhkan hukuman itu setelah Mat Haizan Mat Yasin, 32, dari Kampung Kamat Kuala Berang, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan mencederakan Nurul Dahyatul Fazlinda, 8, dan Irfan Firdaus, 2.

Bagi pertuduhan pertama mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, Mat Haizan dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Nurul Dahyatul Fazlinda dengan menggunakan sejenis asid di sebuah rumah di Kampung Sekayu, Kuala Berang, pada 1.45 pagi 15 Ogos lepas.

Tertuduh juga mengaku salah terhadap pertuduhan kedua menurut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mencederakan Irfan Firdaus di tempat dan masa yang sama.

Untuk pertuduhan pertama, Mat Haizan dikenakan hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan manakala untuk pertuduhan kedua, tertuduh dijatuhi hukuman penjara dua tahun.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman penjara dijalankan serentak.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Masriwani Mahmood.

Tertuduh kelihatan bersahaja dan sesekali tersenyum sepanjang prosiding berlangsung.

Pada 25 Ogos lalu, di mahkamah sama, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan lima kali sebatan atas kesalahan mencederakan isterinya Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 28.

Isteri dan dua anak tertuduh yang mengalami kecederaan, termasuk melecur teruk di muka dan badan turut hadir di mahkamah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain