suria

Lelaki Bangladesh Ditemui Mati Dengan Usus Perutnya Terburai

KAJANG: Seorang lelaki warga Bangladesh ditemui mati dengan keadaan usus perutnya terburai dalam sebuah gaung di Batu 14, Sungai Tekali, Hulu Langat, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Sakaruddin Che Mood berkata Azmol Hossain, 30, ditemui oleh sepasukan anggota polis kira-kira 11 pagi tadi selepas mendapat laporan daripada orang awam.

"Semalam, seorang penduduk di situ menghubungi polis kira-kira pukul 5.30 petang selepas melihat Azmol berlari dengan keadaan perut yang berlumuran darah.

"Dalam kejadian itu, saksi turut melihat mangsa diekori oleh empat lelaki yang menaiki tiga motosikal yang tidak mempunyai nombor pendaftaran," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini.

Ekoran kejadian itu, katanya polis mengesan beberapa tompokan darah di sekitar lokasi kejadian dan kawasan gaung tetapi gagal menjejaki mangsa.

"Kita kemudian menjalankan operasi mencari dan menyelamat bagi mengesan mangsa sehingga 11 malam tadi, namun terpaksa dihentikan akibat hujan lebat sebelum disambung pagi tadi," katanya.

Sakaruddin berkata siasatan awal mendapati mangsa terjun ke dalam gaung berkenaan untuk menyelamatkan diri dari kumpulan penyerang itu.

"Kita juga percaya mangsa mati akibat pendarahan yang teruk di perutnya akibat dirodok dengan senjata yang tajam," kata Sakaruddin.

Beliau berkata polis tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh oleh rakan senegaranya dan berdasarkan siasatan awal, ia berpunca akibat dendam.

"Tiada barang berharga atau dokumen pengenalan diri yang hilang. Sehingga kini polis masih menjejaki empat lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes ini," katanya.

Mayatnya dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain