suria

Kajian Untuk Gabungkan Proton-Perodua Telah Siap

KUALA LUMPUR: Kajian mengenai cadangan penggabungan syarikat kereta nasional, Proton Holdings Bhd dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd, telah pun siap.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, laporan itu akan dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, untuk pertimbangan.

"Cadangan (Proton-Perodua) ini diilhamkan oleh Perdana Menteri. Kami kini menunggu untuk menetapkan tarikh bagi membentangkan laporan itu kepada Perdana Menteri," katanya kepada pemberita pada majlis perhimpunan bulanan inovasi dan kualiti kementerian itu di sini, Isnin.

Sementara itu, Mustapa berkata eksport barangan buatan Malaysia dijangka meningkat sebanyak 5 peratus kepada RM447.09 bilion pada 2011 berbanding RM424.1 bilion yang dicatatkan pada tahun 2010.

Kementerian tersebut turut mengunjurkan peningkatan eksport perkhidmatan, dengan sasaran RM106.15 bilion pada 2011 berbanding RM101.1 bilion pada 2010.

Selain itu, katanya, satu jawatankuasa Pelaburan Program Transformasi Ekonomi (JPETP) telah ditubuhkan dan berperanan untuk mengenal pasti dan melaksanakan program dan aktiviti ETP.

JPETP juga akan memantau program-program pelaburan berkaitan MITI yang dikenal pasti dalam Rancangan Malaysia ke-10.

Dalam ucapannya pada majlis itu, Mustapa turut mengucapkan terima kasih kepada Ketua Setiausaha Kementerian itu Tan Sri Abdul Rahman Mamat, atas perkhidmatan beliau.

Abdul Rahman yang akan bersara pada 5 Disember ini, memulakan kerjayanya dengan Miti pada tahun 1975.

Graduan ekonomi Universiti Malaya itu mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam industri perdagangan. Beliau pernah menyandang pelbagai jawatan termasuk timbalan persuruhjaya perdagangan di New York, pengarah pendagangan di Taipei, persuruhjaya perdagangan dan timbalan perwakilan tetap ke Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bersatu di Bangkok.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai pengarah Biro Promosi Eksport di Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia, serta pengarah kanan bahagian perkhidmatan dasar dan industri serta timbalan ketua setiausaha (industri) Miti.

Abdul Rahman juga pernah mewakili Malaysia dalam pelbagai mesyuarat, rundingan, persidangan dan simposium antarabangsa. Beliau juga ialah panel jawatankuasa Anugerah Inovasi Perdana Menteri 2010.

Artikel Sebelum

Artikel Lain