suria

Isu Gaji Pemandu Bas Ekspres Diperinci

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan sedang memperincikan soal penetapan gaji pemandu bas ekspres sebagai langkah menangani risiko kemalangan jalan raya akibat keghairahan pemandu bas mengejar komisyen daripada jumlah bilangan perjalanan.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri berkata perkara itu merupakan antara isu yang dibincangkan kementerian dengan Kementerian Sumber Manusia.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul memotong gaji Menteri Pengangkutan RM10 yang dikemukakan oleh Salahuddin Ayub (Pas-Kubang Kerian) di Dewan Rakyat di sini, pada Isnin.

Isu gaji pemandu bas itu dibangkitkan Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) yang meminta kementerian mengkaji faktor gaji pemandu bas yang didakwa kini hanya mendapat kira-kira RM300 selain bergantung kepada komisyen untuk pendapatan tambahan.

Usul itu kemudiannya ditolak apabila lebih ramai anggota Parlimen tidak bersetuju berdasarkan undian suara.

Abdul Rahim berkata usul itu tidak sepatutnya dikemukakan memandangkan kementerian telah melakukan pelbagai cara untuk mengatasi masalah berkaitan pengangkutan di negara ini termasuk bagi menangani isu kemalangan membabitkan bas ekspres.

"Kalau kita melihat dari segi statistik, perangkaan kematian mengikut kategori pengguna jalan raya bagi tempoh 10 tahun, sebenarnya pemandu dan penumpang bas adalah yang terendah sekali, hanya lebih kurang 0.45 peratus, iaitu 31 orang bagi 2009 berbanding penunggang dan pembonceng motosikal iaitu 4,067 atau lebih kurang 60 peratus daripada kematian," katanya.

Selain itu, katanya kementerian juga dalam proses melaksanakan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dalam membantu memastikan syarikat bas dan kenderaan lain mematuhi peraturan semasa di jalan raya.

Sementara itu, ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2011 (Bajet 2011) di peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu, Abdul Rahim berkata kerajaan tidak bercadang untuk menghapuskan saman ekor yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Beliau berkata ini kerana langkah itu tidak adil bagi pesalah-pesalah trafik yang telah membuat pembayaran bagi setiap kesalahan yang dilakukan.

Persidangan dewan disambung esok. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain