suria

Hanya Pengawal Keselamatan Tempatan & Nepal Sahaja Dibenarkan Kawal Kawasan Perumahan

KUALA LUMPUR: Hanya pengawal keselamatan rakyat tempatan dan Nepal yang diambil bekerja oleh syarikat sekuriti yang berlesen sahaja yang dibenarkan untuk diambil bekerja untuk mengawal kawasan perumahan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung memberitahu sidang Dewan Rakyat, Selasa, ini adalah syarat baru yang dikeluarkan sebagai garispanduan untuk komuniti yang memiliki kemudahan berpagar dan berpengawal.

Garispanduan itu berkuatkuasa September lalu, katanya.

"Pengawal dari Nepal ini juga diwajibkan untuk memahami dan bertutur dalam Bahasa Malaysia atau Inggeris sebagai salah satu syarat untuk diambil berkhidmat mengawal kawasan perumahan," ujarnya.

Chor berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Dr Mujahid Yusof Rawa (PAS-Parit Buntar) mengenai langkah-langkah yang telah diambil untuk mengatasi masalah perkhidmatan pengawal keselamatan di kawasan perumahan dan syarat-syarat yang ditetapkan kerajaan.

Chor berkata, pada awalnya kerajaan tidak bercadang untuk memperkenalkan garispanduan tersebut.

"Bagaimanapun memandangkan ia kini sudah menjadi satu trend untuk kawasan perumahan memperkenalkan konsep perumahan berpagar dan berpengawal, dan ramai persatuan penduduk yang mahu mendapatkan khidmat pengawal keselamatan maka kerajaan merasakan satu garispanduan yang seragam patut diperkenalkan," kata Chor.

Artikel Sebelum

Artikel Lain