suria

Doktor Dibebaskan Dari Tuduhan Kendali Klinik Tanpa Lesen

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen membebas dan melepaskan seorang doktor daripada tuduhan mengendalikan klinik swasta tanpa lesen.

Hakim Datuk Ghazali Cha membuat keputusan itu setelah menolak rayuan pihak pendakwaan dan mendapati Hakim Mahkamah Sesyen tidak terkhilaf membuat keputusan terhadap Dr R. Venkatakrishnan pada 21 April lalu.

Katanya, hakim tersebut tidak terkhilaf semasa menolak eksibit yang dikemukakan pihak pendakwaan kerana tidak mematuhi peruntukan Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.

Mengikut sekyen itu pihak pendakwaan sepatutnya menyediakan dokumen dan menyerahkan lebih awal kepada pihak pembela bagi membolehkan pembelaan dilakukan sebaiknya.

Selain itu dalam penghakimannya, Ghazali berkata bahawa pihak pendakwaan juga gagal membuktikan pemilikan premis (klinik) itu menerusi keterangan saksi dan tiada isu lesen ditimbulkan.

Pada 21 April lalu, Mahkamah Sesyen membebaskan dan melepaskan Venkatakrishnan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie atas kesalahan mengendalikan suatu pusat jagaan ambulatori swasta iaitu klinik wanita tanpa dilesenkan mengikut Seksyen 19(a) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

Beliau didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 5(1)(a)(i) akta yang sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM300,000 atau penjara enam tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sepanjang perbicaraan pihak pendakwaan memanggil lima orang saksi dan di antara yang memberi keterangan adalah wanita yang pernah menjalani pengguguran janin di klinik terbabit.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin manakala Venkatakrishnan diwakili peguam Karpal Singh.

Artikel Sebelum

Artikel Lain