suria

Belia 4B Selangor Buat Laporan Polis Atas Kenyataan Dr Wan Azizah

SHAH ALAM: Pergerakan Belia 4B Selangor hari ini membuat laporan polis terhadap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail kerana mempertikaikan konsep ketuanan Melayu dalam ucapannya di Kongres Tahunan Ketujuh parti itu di Petaling Jaya Sabtu lepas.

Laporan dibuat Setiausaha Kehormat Belia 4B Selangor, Mohd Zaini Mohd Taha di Ibu pejabat Polis Daerah Shah Alam di Seksyen 11 di sini pada pukul 3.30 petang tadi.

Kenyataan Dr Wan Azizah supaya ketuanan Melayu ditinggalkan adalah satu tamparan hebat dan penghinaan kepada orang Melayu yang dilakukan oleh bangsa Melayu sendiri, katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu.

"Saya minta polis siasat kenyataan yang dikeluarkan, kalau perlu ambil tindakan di bawah ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) kerana membangkitkan kemarahan orang Melayu," katanya.

Mohd Zaini berkata, laporan polis yang dibuat oleh pihaknya adalah langkah-langkah awal sebelum tindakan susulan yang berlandaskan undang-undang diambil. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain