suria

Bapa Syafiah Humaira Diarah Bela Diri Tuduhan Bunuh

SHAH ALAM: Bapa kepada kanak-kanak mangsa bunuh, Syafiah Humaira Sahari dan dua anggota polis dipanggil untuk membela diri atas tuduhan membunuh seorang mekanik dari Indonesia yang ditembak tiga kali dalam keadaan bergari kerana didakwa menjalinkan hubungan dengan isteri orang.

Sahari Usul, 33, yang merupakan seorang anggota polis berpangkat konstabel di Ibu Pejabat Polis Subang Jaya, dekat sini dipanggil membela diri bersama dua lagi anggota polis daripada Balai Polis Sungai Plong, Koperal Ailias Yahaya, 56, dan Konstabel Saiful Azlan Shah Abdullah, 46.

Mereka didakwa atas tuduhan membunuh Yusrizal Yusuf, 38, pada antara pukul 10 dan 11.30 malam, 13 Januari 2006 di Ladang Caledonia, Kilometer 22, Jalan Kuala Lumpur-Kuala Selangor, Batu Arang, dekat sini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Azari Harun dan Mohamad Mustaffa P Kunyalam megikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Barisan pembelaan pula dibarisi peguam-peguam J.Kuldeep Kumar, M.Athimulan dan Ravi Shankar Ghandi.

Keterangan sebelum ini menyatakan, mangsa mempunyai hubungan sulit dengan isteri kepada bekas pengawal keselamatan, Alias Mohamad Isa, Zainun Talib kira-kira setahun sebelum kejadian dan pernah mengugut akan melarikan Zaitun.

Dua minggu sebelum kejadian, Yusrizal juga dikatakan telah berkata “Jika abang mahu pukul saya, pukul sampai mati, Jika tidak mati, saya akan bunuh semua anak beranak abang tujuh keturunan” menyebabkan Alias membuat laporan polis di Sungai Plong.

Di balai polis tersebut, Alias dan seorang penjual kereta terpakai, Sulaiman Mohamad, 40, (saksi pendakwaan 33) telah melepaskan geram dengan memukul dan menendang si mati yang ditahan bagi tujuan pengecaman suspek bagi kes ugutan.

Semasa itu, Alias yang memberitahu, dia percaya mangsa seorang yang kebal kerana mengamalkan ilmu hitam, telah membuang tangkal dan minyak pengasih milik mangsa ke dalam mangkuk tandas.

Selain itu, saksi juga menyatakan bahawa Alias dan Saiful Azlan telah bertemu denganya di Restoran Maju Ahmad di Kuang, dekat sini dan menunjukkan tiga butir kelongsong peluru yang kosong dan berkata ‘dah padam’.

Peluru tersebut datang daripada senjata pistol yang telah diserahkan kepada Sahari pada malam kejadian dan mangsa ditembak dari belakang dalam jarak dekat dan gari ditangannya hanya dibuka selepas dia rebah.

Justeru itu, pada penghakimannya, Pesuruhjaya Kehakiman Dr Badariah Sahamid berkata, pihak pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie untuk dijawab oleh semua tertuduh.

“Saya mendapati kejadian tersebut telah dirancang teliti bermula daripada di balai polis dan berdasarkan keadaan mangsa yang digari, ditembak dari dekat jelas menunjukkan niat semua tertuduh untuk membunuh mangsa.

“Saya tidak mempunyai kesangsian mengenai peranan yang dimainkan setiap tertuduh dalam jenayah ini,” katanya.

Beliau menetapkan 8 Disember ini untuk sebutan semula kes sebelum semua tertuduh membela diri.

Sahari ialah bapa kepada Syafiah Humaira. tiga tahun empat bulan yang mati akibat ditendang, dipukul dan diterajang oleh seorang pemandu teksi, Mohd Fazli Azri Jamil. 28, yang merupakan kekasih kepada ibu kanak-kanak malang itu, Siti Nurhanim Aziz, 25.

Siti Nurhanim pada perbicaraan terhadap Mohd Fazli Azri mengakui menjalin hubungan dengan Mohd Fazli Azri sejak suaminya ditahan reman di Penjara Sungai Buloh, sehingga melahirkan seorang anak lelaki, Shakimie Iqbal.

Pada 22 September lalu, Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Wira Mohtarudin Baki menjatuhkan hukuman mati ke atas Mohd Fazli Azri, 28, selepas mendapati lelaki itu bersalah membunuh Syafiah Humaira.

Artikel Sebelum

Artikel Lain