suria

AminulRasyid Mahu Jumpa Ibu

SHAH ALAM: Pelajar Tingkatan Tiga, AminulRasyid Amzah hanya ingin pulang ke rumah untuk berjumpa dengan ibunya pada malam dia ditembak mati dalam kejadian tembakan yang berlaku semasa dia memandu kereta Proton Iswara milik kakaknya.

Rakan AminulRasyid, Mohd Zubir Salleh, 15, memberitahu Mahkamah Sesyen di sini Selasa, dia diberitahu perkara itu oleh seorang lagi rakan, Mohd Azamuddin Omar yang turut berada di dalam kereta tersebut pada malam kejadian.

Katanya, perkara itu diceritakan oleh Azamuddin di dalam tandas Sekolah Menengah Seksyen 11, di sini, pada waktu pagi 26 April lalu dihadapannya dan rakan-rakan yang berkumpul selepas diminta oleh Azamuddin.

“Azamuddin menceritakan bahawa AminulRasyid sudah meninggal. Dia beritahu, mereka telah melanggar sebuah keret, dikejar oleh motosikal dan ditembak banyak kali oleh polis.

“Dia ada beri saya beg yang berisi pakaian yang dipakainya pada malam dia bersama AminulRasyid dan kata tolonglah simpan. Saya ambil kerana saya tidak kisah,” kata Mohd Zubir yang dipanggil sebagai saksi pendakwaan ke-35.

Saksi yang memakai tali leher biru tua dengan gambar kartun seterusnya memberitahu, beg tersebut disimpan berhampiran lorong rumahnya kerana bimbang akan dimarahi oleh ibunya.

Selain itu, saksi yang terserempak dengan Azamuddin semasa dalam perjalanan ke sekolah berkata, raut wajah rakan yang dikenalinya sejak di sekolah rendah kelihatan sedih dan seolah-olah mempunyai masalah.

Bagaimanapun, saksi tidak bertanya lanjut kerana Azamuddin juga kelihatan tidak mahu bercerita lanjut.

“Semasa di tandas, Azamuddin hanya bercerita selama 10 minit dan kawan-kawan semua menangis. Menangis yang panjang,” tambahnya yang disoal Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar.

Mohd Zubir juga memberitahu, ibunya ada menceritakan kejadian tembakan dan penemuan parang di dalam kereta Proton Iswara itu semasa dia curi-curi keluar daripada sekolah untuk pulang ke rumah pada waktu persekolahan.

“Saya balik ke rumah kerana mahu membuang air besar. Tandas di sekolah busuk,” jawapan saksi yang spontan menyebabkan mereka yang berada di mahkamah ketawa.

Keterangan lain, saksi telah menunjukkan beg yang berisi t-shirt merah hati dan seluar pendek warna biru muda kepada anggota forensik yang datang ke rumahnya pada antara 1 dan 2 pagi, 27 April lalu.

Menjawab soalan peguam M.Athimulan, saksi memberitahu AminulRasyid boleh memandu kereta dan dia sendiri pernah menyaksikan rakannya itu berbuat demikian.

“Saya pernah lihat AminulRasyid memandu kereta kepunyaan abang saya yang menggunakan gear manual sejauh 100 meter di kawasan perumahan saya,” katanya.

Mohd Zubir juga memberitahu, pada pengetahuannya AminulRasyid baru belajar memandu iaitu antara Februari dan April lalu. Malah, saksi sendiri mengakui dia juga boleh memandu dan pernah membawa ibunya ke pasar.

Disoal adalah saksi pernah menasihatkan AminulRasyid untuk tidak memandu saksi menjawab: “Tak pernah kerana saya juga tidak mempunyai lesen.”

Jawapan saksi sekali lagi mencuit perasaan mereka yang mengikuti perbicaraan dan Hakim Latifah Mohd Tahar menasihatkan saksi untuk menghentikan perbuatan itu.

“Lain kali jangan bawa. Tunggu sehingga kamu ada lesen,” kata Latifah. Athimulan juga memberikan nasihat dengan berkata: “Adik, jangan bawa, nanti kalau langgar orang susah.”

Mohd Zubir dilihat menganggukkan kepala terhadap nasihat tersebut.

Dalam kes ini, Koperal Jenain Subi, 48, dibicarakan atas tuduhan menyebabkan kematian AminulRasyid, 15, antara pukul 1.10 dan 2 pagi, 26 April lalu di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini.

Jenain yang bertugas di unit kereta peronda Ibu Pejabat Polis di sini dibicarakan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan akan bersambung 6 Disember ini.

Artikel Sebelum

Artikel Lain