suria

Rais Tegur Jabatan Dan Syarikat Kerajaan Yang Tidak Peduli Aduan

JELEBU: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim menegur sikap sesetengah jabatan dan syarikat milik kerajaan yang tidak mengambil berat terhadap aduan orang ramai mengenai masalah mereka.

Beliau berkata terdapat aduan perkara kecil daripada orang ramai masih ditangguhkan oleh pihak yang bertanggungjawab untuk mengambil tindakan sehinggalah mereka terpaksa membawa masalah itu kepada menteri.

"Mungkin juga pegawai syarikat berkenaan seperti Tenaga Nasional Berhad dan Telekom Malaysia Berhad tidak pergi terus ke bawah dan meninjau aduan rakyat ini," katanya kepada Bernama selepas majlis minum petang bersama penduduk Cina di Pekan Titi di sini pada Isnin.

Rais melawat Pekan Titi untuk meninjau dan melihat sendiri masalah penduduk di sini walaupun perkara kecil yang belum lagi diambil tindakan oleh pihak berwajib sehingga orang ramai terpaksa mengadu kepada beliau.

Beliau merujuk kepada masalah seorang penduduk di mana tiang elektrik telah dibina di hadapan rumahnya sehingga menyusahkan perjalanan keluar masuk keluarga itu.

Katanya, tinjauan ke atas masalah rakyat ini bukan sahaja boleh dilakukan oleh seorang menteri, ia sepatutnya juga diamalkan oleh wakil rakyat dan pegawai daerah tempatan terutama di Jelebu di mana beliau adalah Anggota Parlimennya.

Beliau menegaskan, tidak perlu ada atur cara rasmi yang melibatkan majlis besar-besaran untuk bertemu dengan rakyat jelata.

"Saya sudah bertahun-tahun melakukan perkara ini sejak dari 1974 lagi. Kita jenguk mereka dan duduk minum bersama di kedai kopi dan ini lebih baik daripada membuat ceramah secara besar-besaran," katanya.

Cara ini lebih berkesan dan mesej kepada rakyat adalah jelas bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) sesungguhnya sangat prihatin dan mengambil berat terhadap pengundinya walaupun perkara yang kecil-kecil, kata Rais. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain