suria

Polis Tumpas Kumpulan Aktif Edar Dadah Di Lembah Klang

KUALA LUMPUR: Satu kumpulan pengedaran dadah yang bergiat aktif di Lembah Klang sejak enam bulan lepas tumpas apabila polis menahan tiga lelaki dan merampas pebagai jenis dadah bernilai RM165,000 dalam satu serbuan di sini pada 25 Nov lepas.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, ketiga-tiga lelaki itu ditangkap dalam serbuan di tempat letak kereta Berjaya Times Square.

"Satu pasukan polis dari unit narkotik Balai Polis Dang Wangi telah membuat serbuan terhadap satu kereta pada 7 petang yang mana terdapat tiga lelaki di dalamnya.

"Seorang daripada mereka cuba melarikan diri ketika serbuan dibuat tetapi berjaya ditangkap," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Amar Singh berkata, polis merampas 10,022 biji pil Eramin 5, 50 biji pil Ecstasy, tujuh paket syabu seberat sembilan gram dan satu paket ganja seberat satu gram.

Beliau berkata, kesemua dadah itu dijumpai dalam kereta dan pada ketiga-tiga lelaki itu.

Amar Singh berkata, kejayaan polis menumpaskan kumpulan pengedaran dadah itu adalah hasil daripada maklumat dan kerjasama oleh orang awam.

Beliau berkata, seorang daripada lelaki yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah dadah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain