suria

Malaysia Perlu Sistem Perkhidmatan Respon Perubatan Bersepadu

KUALA LUMPUR: Malaysia memerlukan satu sistem perkhidmatan respon perubatan yang bersepadu bagi menghadapi sebarang situasi kemalangan jalan raya yang serius, kata Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur Profesor Datuk Dr Abu Hassan Asaari Abdullah.

Beliau berkata, sistem itu yang boleh diselaras oleh Majlis Keselamatan Negara akan menghubungkan semua agensi berkaitan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis, Jabatan Pertahanan Awam dan hospital.

"Satu daripada langkah menjayakan sistem ini ialah dengan menyediakan lebih banyak ambulans. Kita harap dapat mewujudkan satu rangkaian perkhidmatan ambulans yang tidak berpangkalan di hospital tetapi ianya harus bebas," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan demonstrasi menyelamat mangsa kemalangan jalan raya di sini, Isnin.

Demonstrasi melibatkan pelbagai agensi berkaitan termasuk dari Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Hospital Kuala Lumpur diadakan sempena Persidangan Antarabangsa Tentang Rawatan Pra-Hospital dan Sistem Komunikasi Kecemasan 2010 selama tiga hari bermula hari ini.

Turut hadir menyaksikan demonstrasi itu Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Abu Hassan berkata, biasanya apabila terjadi kemalangan jalan raya, akan berlaku kesesakan lalu lintas yang teruk sehingga menyukarkan pasukan penyelamat sampai ke tempat kejadian dan membawa mangsa ke hospital.

"Dengan sistem bersepadu tersebut, ia akan membolehkan mangsa diberi bantuan kecemasan dengan pantas di tempat kejadian," katanya.

Mengenai persidangan itu, Abu Hassan berkata, ia bertujuan membincangkan mengenai pentingnya memiliki sebuah sistem komunikasi yang berkesan bagi memberi rawatan yang terbaik kepada pesakit sebelum dihantar ke hospital.

Peserta terdiri wakil dari pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan seperti St. John Ambulance, Persatuan Bulan Sabit Merah dan Puteri Umno, akan dididik mengenai protokol dan prinsip terbaru mengenai pengurusan semasa kemalangan.

Ahmad Shabery pula berkata, program itu akan memberikan pengetahuan dan kemahiran kepada golongan belia tentang rawatan kecemasan dan dapat berkhidmat sebagai sukarelawan.

"Ini adalah kriteria yang penting dalam pembinaan anak-anak muda dalam negara kita yang mampu untuk memberi khidmat dalam apa jua keadaan kerana bagi kita sebuah negara yang maju itu bukan sahaja maju dari segi infrastruktur tetapi juga bagaimana untuk menangani tragedi," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain