suria

Makna Yang Tersirat Di Sebalik Perubahan Pucuk Pimpinan DAP S'gor

KUALA LUMPUR: Pemilihan pucuk pimpinan DAP Selangor Ahad lalu menyaksikan anggota parti itu di peringkat akar umbi telah menghantar isyarat jelas agar wujud aspek 'memantau dan menegur' dalam kepimpinan parti itu.

Walaupun terdapat dua kem yang berkempen secara serius untuk kemenangan calon masing-masing pada pemilihan itu, tetapi lebih 1,000 perwakilan telah mengundi untuk meletakkan calon dari kedua-dua kem untuk menganggotai jawatankuasa 15 anggota bagi membuat keputusan mengenai rombakan kepimpinan parti peringkat negeri itu.

Pasukan Perpaduan yang diterajui oleh Exco kanan Selangor Teresa Kok, menyaksikan tujuh daripada calon mereka diundi untuk menganggotai jawatankuasa itu, manakala pasukan Pelangi yang diterajui oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Teng Chang Khim pula menyaksikan lima calon dari barisan mereka diundi ke dalam jawatankuasa itu.

Dengan kelebihan tujuh calon dari kemnya terpilih menduduki jawatankuasa negeri, Kok walaupun memperolehi undi paling sedikit dalam barisan 15 anggota itu, telah terpilih sebagai Pengerusi DAP Selangor yang baru.

Bagaimanapun, orang kuat DAP Selangor yang penuh kontroversi yang juga Exco kerajaan negeri, Ronnie Liu, gagal terpilih menduduki jawatankuasa DAP Selangor.

Tiga lagi anggota jawatankuasa itu yang terdiri daripada Janice Lee, Hannah Yeoh dan Charles Santiago dilihat sebagai calon neutral.

Anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP Jeff Ooi ketika dihubungi BERNAMA berkata, barisan kepimpinan baru itu seharusnya mengambil iktibar daripada kehendak anggota peringkat akar umbi menerusi keputusan mereka, yang mahu supaya ada aspek memantau dan menegur dalam kepimpinan.

"Anggota peringkat akar umbi menghantar mesej jelas bahawa Teresa Kok masih memerlukan masa untuk membina asas politik yang kukuh dalam negeri. Mungkin ada sesetengah pihak yang sangsi dengan keupayaannya," kata penulis blog yang juga merupakan anggota Parlimen Jelutong itu.

Beliau berkata, pasukan Kok yang mendapat sokongan kepimpinan peringkat Pusat, berhadapan dengan tugas yang mencabar dan menurutnya mungkin masih ada anggota peringkat akar umbi yang masih marah dengan peranannya memecat bekas setiausaha penganjur DAP Selangor, Tee Boon Hock.

"Pemecatan itu menimbulkan pelbagai persoalanan yang tiada jawapan, dan ini dicerminkan menerusi keputusan pemilihan tersebut," kata Ooi semasa memberikan pandangannya dalam membuat penilian berhubung keputusan pemilihan itu.

Ooi berkata, kekalahan Liu juga merupakan satu 'pengajaran besar buat kepimpinan pusat' yang menyokong status-quo dalam kepimpinan peringkat negeri, namun peringkat akar umbi berfikiran sebaliknya.

"Lima anggota yang mendapat undi tertinggi ke jawatankuasa itu adalah dari kumpulan yang bukan dari kumpulan perpaduan oleh itu, kepimpinan pusat perlu ambil iktibar daripada keputusan itu," katanya.

Walaupun Liu gagal disenaraikan dalam barisan anggota jawatankuasa itu, tetapi beliau percaya tidak akan berlaku sebarang pertukaran dalam barisan exco kerajaan negeri kerana Liu masih mendapat sokongan dari kalangan pemimpin peringkat nasional.

Sementara itu, Anggota Parlimen Klang, Charles Santiago pula berkata, adalah jelas bahawa kedua-dua pihak diwakili secara saksama sebagaimana yang dikehendaki oleh peringkat akar umbi yang berhasrat untuk mengukuhkan parti.

Sementara penganalisis politik di UCSI University, Ong Kian Ming pula berpendapat, ama ada berlaku perubahan dalam exco kerajaan negeri, persoalan berhubung kedudukan Liu akan kekal untuk beberapa ketika.

"Saya rasa tempoh kedudukan beliau sudah sampai ke penghujung berdasarkan kepada keputusan ini. Persoalanannya kini ialah siapa yang boleh menggantikan beliau," katanya.

Menurut beliau lagi, berdasarkan kepada jumlah undi pada pemilihan itu, pastinya nama Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Teratai, Jenice Lee akan timbul, namun jika faktor 'kekananan' diambil kira, Adun Sekincan, Ng Suee Lim mungkin menjadi pilihan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain