suria

Lelaki Australia Ditemui Mati Di Bilik Hotel

PETALING JAYA: Seorang lelaki Australia ditemui mati di dalam sebuah bilik di hotel empat bintang di sini, Ahad.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata mayat lelaki berusia 50 tahun itu ditemui oleh seorang pekerja hotel kira-kira pukul 1 tengah hari ketika melakukan pemeriksaan di bilik hotel berkenaan.

"Mangsa sepatutnya mendaftar keluar semalam. Oleh kerana dia tidak keluar dari bilik penginapannya, pekerja hotel itu melakukan pemeriksaan di bilik terbabit sebelum menemui mangsa yang terbaring di atas katil," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program "Face to Face" bersama penduduk Taman Seapark dekat sini, Ahad. Arjunaidi berkata siasatan awal mendapati tiada kecederaan dan berdasarkan keadaan mayat, polis percaya lelaki, yang menginap di hotel itu sejak Khamis, mati dalam tempoh 24 jam lepas.

"Siasatan awal mendapati tiada kesan pecah masuk di bilik mangsa, namun polis masih meneruskan siasatan untuk mengenal pasti jika terdapat barang milik mangsa yang hilang," katanya.

Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut. Mayat lelaki itu dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain