suria

Kongres Nasional PKR: Pilih Pemimpin Bukan Kerana Personaliti Semata-Mata

PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang baru, Nurul Izzah Anwar berkata rakyat akan memilih parti yang bermaruah seandainya seorang pemimpin mempunyai prinsip nilai murni yang tinggi dan mereka tidak dipilih berdasarkan personaliti semata-mata. "Kita mesti membezakan antara personaliti dan prinsip yang dibawa personaliti.

"Hanya prinsip dan bukannya personaliti yang mesti diinstitusikan di dalam parti kita," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Tahunan PKR di Dewan Sivik Majlis Bandarya Petaling Jaya di sini, Ahad.

Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, PKR sedia memperbaiki kelemahan ketika proses pemilihan parti yang lalu dengan melaksanaka langkah-langkah susulan bagi menghilangkan keresahan ahli parti.

Katanya, PKR berkebolehan meremajakan dan menawarkan kepimpinan yang mahir, beramanah dan berpegang teguh kepada prinsip dan asas perjuangan parti.

Sementara seorang lagi Naib Presiden, Fuziah Salleh pula menggariskan tiga peringatan kepada ahli parti sebelum menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Beliau yang juga pengarah pilihan raya PKR berkata, langkah tersebut adalah dengan mengerakkan jentera pilihan raya di negeri dan cabang menarik lebih ramai penyokong serta ahli mendaftar sebagai pengundi sebelum 15 Disember ini.

"Kemudian kita boleh buat analisa di kawasan masing-masing, kerana pilihan raya adalah melibatkan angka. Ketiga, siapkan jentera pilihan raya di daerah mengundi.

"Insya-Allah, kalau cukup tiga perkara hujung tahun ini, boleh lah kita kata, kita boleh bersedia dengan pilihan raya," katanya.

Sementara itu seorang lagi Naib Presiden, Dr Mansor Othman yang berkata PKR diserang kerana parti mempunyai kekuatan tersendiri.

Timbalan Ketua Menteri 1, Pulau Pinang itu berkata tindakan lawan menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah kerana PKR berjaya menyatupadukan rakyat Malaysia di bawah Pakatan Rakyat.

"Siapa sangka DAP boleh membawa bendera PAS, dan penyokong PAS membalut diri mereka dengan bendera DAP. Ini yang menakutkan mereka," katanya.

Bagi Ahli Parlimen Batu Tian Chua pula, perjuangan PKR adalah hasil daripada perjuangan rakyat yang tertindas.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain