suria

Kerajaan Timbang Kawal Siaran Iklan Di Bawah Satu Bidang Kuasa

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang menimbang kemungkinan untuk mengawasi semua jenis tayangan iklan tempatan dan luar negara di bawah bidang kuasa sebuah pihak berkuasa.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang berkata, ia bagi mengetatkan lagi pemantauan terhadap pematuhan syarat Sijil Akuan Filem Iklan Buatan Malaysia atau "Made in Malaysia" (MIM) yang disiarkan di semua stesen televisyen tempatan.

Langkah itu turut dibuat berikutan kebanjiran iklan luar dilihat yang boleh menjejaskan industri pengiklanan negara, katanya ketika menjawab soalan Salleh Kalbi (BN-Silam) di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau turut berkata iklan yang mempamer wajah masyarakat Asia dan Malaysia akan diberi perhatian dalam iklan buatan Malaysia.

Salang berkata, kementerian tersebut tidak mengehadkan kemasukan filem iklan dari luar negara tetapi mengehadkan penyiaran filem iklan luar dengan menguatkuasakan MIM bagi memastikan keutamaan diberikan kepada pengeluar filem tempatan dalam menerbitkan filem iklan.

Mengenai filem iklan yang tidak menerapkan elemen pengajaran serta tidak mengikut norma dan nilai kehidupan masyarakat di negara ini, beliau berkata, pengeluaran filem iklan telah dapat dikawal melalui penguatkuasaan Akta Penapisan Filen 2002 atau Akta 620 di bawah Kementerian Dalam Negeri.

"Garis panduan perakuan filem iklan buatan Malaysia masih menetapkan peraturan bahawa setiap filem iklan yang disiarkan di televisyen mesti mempunyai sijil MIM," katanya.

Sehubungan itu, katanya, kementerian melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sedang dalam tindakan untuk memantapkan lagi peraturan yang sedia ada dan kementerian masih menguatkuasakan peraturan agar setiap iklan yang disiarkan di televisyen tempatan mempunyai MIM.

Salang berkata, sijil MIM hanya akan dikeluarkan kepada filem-filem iklan yang diterbitkan oleh filem iklan tempatan sahaja dan filem iklan luar negara boleh digunakan sebagai "foreign footage" atau kakian asing dengan tidak melebihi 30 peratus kakian asing.

Menurutnya, bukan semua iklan diawasi oleh Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudyaan kerana iklan papan tanda pula terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Mengenai persaingan antara Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan televisyen swasta dalam menayangkan filem iklan, beliau berkata, kementerian itu tidak mengehadkan mana-mana pihak untuk menyiarkan iklan produk mereka melalui mana-mana saluran stesen televisyen.

"Pemantauan kandungan (iklan) bukan di bawah kementerian melalui Finas, ia adalah di bawah Kementerian Dalam Negeri (Lembaga Penapisan Filem). Finas hanya mengeluarkan MIM sahaja dan kita mengharapkan penyusunan semula penguatkuasaan akan dilakukan," katanya dan menambah iklan yang tidak memenuhi syarat boleh ditarik dan tidak ditayangkan di televisyen.

Berhubung aktiviti penjualan masa siaran iklan radio dan televisyen (untuk RTM) yang melantik Utusan Melayu (M) Bhd (UMMB) sebagai agensi pemasaran, Salang berkata, kementeriannya sedang berunding dan mencari jalan penyelesaian untuk meningkatkan sasaran kutipan termasuk berkemungkinan akan menarik balik perlantikan pengurusan itu sekiranya syarikat akhbar berkenaan tidak dapat membuat kutipan yang diunjurkan. Abdullah Sani Abdul Hamid (PKR-Kuala Langat) yang membangkitkan persoalan itu bertanyakan mengenai bentuk tindakan yang diambil oleh kementerian apabila UMMB tidak mencapai sasaran kutipan iaitu RM27 juta bagi televisyen dan RM13 juta bagi radio berbanding pencapaian pada 2005 dan 2006 yang diuruskan oleh agensi lain, seperti yang dilaporkan dalam Laporan Audit Negara 2009. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain