suria

Kenyataan Wan Azizah Bagaikan 'Kapal Hampir Tenggelam' - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kenyataan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mahu konsep ketuanan Melayu dihapuskan, bagaikan "kapal yang hampir tenggelam".

Beliau berkata kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr Wan Azizah, yang juga isteri Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, sebagai usaha untuk mendapatkan sokongan masyarakat terhadap parti berkenaan.

Katanya pemimpin PKR sepatutnya menghormati Fasal 153 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak orang Melayu dan Bumiputera serta menjamin hak bangsa lain serta menjadikan ia sebagai pegangan untuk memperjuangkan nasib rakyat di negara ini.

Fasal 153, kata Muhyiddin, harus menjadi pegangan dan perjuangan sesiapa sahaja sebagai pemimpin Malaysia namun ini tidak dilakukan pemimpin PKR.

"Kita lihat sekarang, sudah ramai yang meninggalkan parti itu. Banyak cabang dan ranting ditutup malah proses pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) menggambarkan betapa simpang siur dan caca marba parti itu. Banyak prinsip yang dikatakan diperjuangkan seperti demokrasi tetapi keadilan tidak dapat dilihat daripada perlakuan dan amalan dalam parti itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pameran Antarabangsa dan Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2010, Ahad. Turut hadir ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar. Muhyiddin diminta mengulas ucapan dasar Dr Wan Azizah pada kongres Nasional Tahunan Ketujuh PKR semalam yang mahu konsep ketuanan Melayu dihapuskan yang menurutnya supaya anak-anak membesar dengan visi 'bangsa bermaruah' atau 'Melayu Bermaruah'.

Mengenai kenyataan Dr Wan Azizah yang menyifatkan Anwar sebagai anugerah Tuhan untuk memimpin rakyat negara ini, Muhyiddin berkata Dr Wan Azizah perlu bersifat realistik berhubung perkara itu.

Beliau berkata anugerah Tuhan bermaksud manusia yang istimewa tetapi Dr Wan Azizah mengeluarkan kenyataan itu kerana Anwar adalah suami yang disayangi dan ia lebih kepada soal rumahtangga dan peribadi.

"Jadi mungkin sebagai seorang isteri, mesti puji suami tapi itu lebih kepada soal rumah tangga dan peribadi.

"Ini soal kepemimpinan dan politik... kalau disebut begitu, ia tidak terlihat daripada penglihatan umum dan mereka sudah tahu tentang sifat Datuk Seri Anwar yang sebenar," katanya.

Muhyiddin berkata beliau tidak perlu menyebutkan kes yang membabitkan Anwar kerana masyarakat sudah tahu kes yang berkaitan dengannya dan beliau tidak mahu mendahului mahkamah.

"Anugerah adalah sesuatu yang istimewa dan menjadi contoh dan teladan. Saya nak tanya Wan Azizah, mahukah dia supaya rakyat Malaysia generasi muda mencontohi teladan, perwatakan dan amalan yang dapat dilihat dalam PKR yang dipimpin Anwar yang nampaknya cakap tidak serupa bikin," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain