Asid Tumpah Dalam Nahas Lori Di Lebuh Raya Utara-Selatan Dekat Ayer Keroh - Semasa | mStar

Asid Tumpah Dalam Nahas Lori Di Lebuh Raya Utara-Selatan Dekat Ayer Keroh

MELAKA: Sebuah lori membawa 80 tong asid nitrik terbabas dan melanggar pembahagi jalan di KM 198.4 Lebuhraya Utara-Selatan pada 5.40 pagi Isnin menyebabkan berlaku tumpahan bahan itu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Melaka, R.Ezhumalai berkata kejadian itu menyebabkan 24 tong bahan itu bertaburan, sembilan daripadanya didapati bocor.

"Kemalangan yang berlaku tiga kilometer dari plaza tol Ayer Keroh itu telah menyebabkan tumpahan asid sehingga terbentuk kabus tebal dipercayai penyebab berlakunya satu lagi kemalangan melibatkan tiga buah kereta," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Menurutnya setiap tong seberat 280 kilogram mengandungi 200 liter asid nitrik berkepekatan 68 peratus dan asid kelas 8 itu bersifat menghakis dan kabus yang terbentuk boleh memudaratkan kesihatan.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan," kata Ezhumalai sambil menjelaskan bahawa punca kejadian masih disiasat.

Katanya lori itu dalam perjalanan dari Pelabuhan Klang ke Pasir Gudang, Johor. Seramai 52 anggota daripada Ibupejabat

Bomba Melaka, Balai Bomba Ayer Keroh, Balai Bomba Bukit Katil, Balai Bomba Alor Gajah dan anggota pasukan Hazmat (bahan bahaya) dari Seremban terlibat dalam operasi membersihkan kawasan itu.

"Sehingga 1.15 petang ini, anggota kita berjaya mengawal keadaan. Kita sedang cuba memastikan asid yang tertumpah itu tidak lagi meruap dan menghasilkan kabus yang berbahaya kepada pengguna lebuh raya dan penduduk sekitar," kata Ezhumalai. - BERNAMA

Artikel Berikut

Bapa Nurin Selesai Kes Saman Di Luar Mahkamah

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel