suria

Ambil Iktibar Kekalahan PAS Di Terengganu - Kit Siang

PETALING JAYA: Kerajaan pakatan pembangkang di Selangor menghadapi risiko hilang sokongan rakyat pada pilihan raya umum akan datang sekiranya ia tidak bersatu, kata pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.

Di samping menggesa pakatan itu mengambil iktibar daripada kegagalan PAS menawan semula Terengganu pada pilihan raya umum 2004, beliau juga menyeru mereka memulihkan perpaduan serta bekerjasama sebagai satu pasukan dalam menangani masalah dan cabaran di Selangor.

"Pada pilihan raya 1999, PAS tidak pernah menduga akan berkuasa di Terengganu, tapi ia mencapai kemenangan besar 28-4 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri.

"Pada pilihan raya umum 2004, PAS tidak menyangka akan hilang kuasa di Terengganu, tapi ia kalah 4-28 kerusi kepada Umno dan Barisan Nasional.

"Oleh itu, Pakatan Rakyat perlu belajar daripada sejarah," katanya ketika merasmikan Konvensyen Ke-16 DAP Selangor dekat sini, Ahad.

Beliau berkata konvensyen itu penting kerana ia membantu menentukan sama ada pakatan pembangkang di Selangor mampu mengulangi atau mengelak kejadian yang pernah berlaku di Terengganu itu pada pilihan raya umum akan datang.

Lim juga menyeru anggota perwakilan ke konvensyen itu memberi sokongan kepada wakil DAP dalam Kerajaan Selangor sebagai tanda perpaduan.

Pakatan pembangkang adalah sebuah pakatan longgar antara DAP, Parti Keadilan Rakyat dan PAS.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain