suria

SPDP Perkemas Jentera Pilihan Raya Parti

KUALA LUMPUR: Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) sedang memperkemaskan mekanisme persediaan parti dalam menghadapi pilihan raya negeri akan datang, kata presidennya Datuk Seri William Mawan Ikom, Sabtu.

Katanya semua ahli parti perlu turun padang bagi memastikan kejayaan bagi Barisan Nasional (BN).

"Kami akan menubuhkan bilik gerakan dan mengadakan latihan untuk pemimpin cawangan mengenai isu-isu semasa demi menjamin kejayaan BN," katanya kepada Bernama selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi parti itu di sini.

Mawan berkata parti itu sedar beberapa parti pembangkang dari Semenanjung akan berkunjung ke Sarawak untuk pilihan raya negeri itu dengan membawa pelbagai ideologi ke dalam politik tempatan dan mengganggu keharmonian di negeri itu.

"Jika mereka membawa budaya taktik kotor, ia mungkin menjejaskan keamanan dan beberapa insiden tidak sihat mungkin tercetus," katanya.

Beliau bimbang pihak pembangkang mungkin menggunakan taktik kotor untuk memancing undi.

Pada Rabu lepas, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang juga Pengerusi BN Sarawak, berkata pilihan raya negeri itu mungkin diadakan pada bila-bila masa sahaja pada tahun depan.

Pada pilihan raya 2006, BN menguasai 62 daripada 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Pilihan raya itu menyaksikan parti tulang belakang, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menang 35 kerusi, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) 11 dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan SPDP masing-masing lapan kerusi.

Parti pembangkang pula menguasai sembilan kerusi dengan DAP menang enam, Parti Keadilan Rakyat (PKR) satu dan dua wakil bebas di mana satu daripadanya mesra BN. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain