suria

Polis Tahan Tiga Orang Bersama Dadah Dan Senjata Api Di Kulim

KULIM: Polis menahan tiga orang termasuk seorang wanita dan menemui pelbagai jenis dadah bersama sepucuk pistol dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Bidara di sini Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Polis Kedah Datuk Mohd Asri Yusuf berkata dalam serbuan pukul 2.30 petang diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Kulim Cif Insp A.

Rajaram, polis menemui 126 biji pil Eramin 5, tiga biji pil WY, tiga biji ketamin dan 3.8 gram syabu, kesemuanya bernilai RM5,620 dalam rumah itu.

"Pemeriksaan ke atas sebuah kereta (Proton) Wira Aeroback yang berada di luar pagar rumah itu, polis menjumpai sepucuk pistol jenis Smith & Wesson tersimpan dalam satu sarung pistol bersama enam butir peluru dan satu paket plastik lutsinar mengandungi 25 butir peluru yang disimpan dalam kasut keselamatan," katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, Ahad.

Mohd Asri berkata suspek lelaki berusia 28 tahun, yang dipercayai menjadi perancang utama kumpulan itu, mempunyai beberapa rekod kesalahan jenayah lampau termasuklah ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) selama dua tahun selain mempunyai beberapa rekod jenayah lain.

Seorang lagi suspek lelaki berusia 26 tahun tiada sebarang rekod jenayah manakala suspek wanita 22 tahun itu yang sudah berkahwin serta mempunyai dua orang anak mempunyai beberapa rekod jenayah.

Mohd Asri berkata aktiviti mereka adalah memproses dadah yang dilakukan di sini dan menjualnya di sekitar Seberang Perai dan Pulau Pinang.

Beliau berkata ketiga-tiga suspek, yang didapati positif dadah, akan disiasat mengikut Seksyen 39A(2), Seksyen 12(2) dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Senjata Api 1960.

Mereka, yang merupakan penduduk tempatan, ditahan reman sehingga 2 Dis, katanya. Dalam perkembangan lain, Mohd Asri berkata pengedar dadah kini didapati menukar taktik menyeludup dadah jenis ganja dan heroin ke negara ini melalui Kedah dengan menggunakan rakyat asing seperti Nigeria, Myanmar dan Indonesia.

"Ini terbukti berikutan lima kes apabila tiga warga asing ditahan membawa dadah ganja atau heroin sama ada melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi atau pada pintu masuk di Sempadan Bukit Kayu Hitam," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain