suria

Polis Tahan Pensyarah Wanita Warga Asing Disyaki Miliki Dadah

SEREMBAN: Polis menahan seorang pensyarah wanita warga asing di dalam sebuah bas ekspres menghala arah selatan berhampiran plaza tol Seremban di sini awal pagi semalam, selepas menemui 12 kilogram dadah jenis kanabis padanya.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan DSP Yahaya Othman berkata wanita berusia 51 tahun yang merupakan pensyarah sebuah kolej swasta di Cheras itu ditahan pada kira-kira pukul 5.30 pagi Ahad.

Beliau berkata selepas dipintas, polis yang memeriksa bas itu menjumpai 12 ketulan plastik lutsinar yang disyaki dadah jenis kanabis dipercayai milik wanita berkenaan, yang dianggar bernilai RM50,000.

Bercakap kepada pemberita dalam satu persidangan media di Ibupejabat Polis Kontinjen negeri di sini hari ini beliau berkata wanita itu didapati memasuki Malaysia pada 10 Oktober lepas.

Yahya berkata wanita itu ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan, dan polis sedang menyiasat sekiranya wanita itu mempunyai kaitan dengan kumpulan pengedar dadah di Seremban dan Lembah Klang.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain