suria

Mendiang Dr Lim Bantu Penyatuan, Perpaduan Negara, Kata Najib

GEORGE TOWN: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Tun Dr Lim Chong Eu adalah seorang pemimpin yang telah membantu ke arah penyatuan dan perpaduan negara.

Perdana Menteri berkata mendiang Dr Lim lebih mementingkan masa depan negara daripada perkara lain apabila beliau yang memimpin parti Gerakan menyertai Barisan Nasional (BN) pada tahun 1972.

"Sebab itulah beliau memilih jalan untuk bersama BN sebagai satu mekanisme dan platform terbaik untuk masa depan Pulau Pinang dan negara kita," katanya kepada pemberita selepas memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Dr Lim di sini, Ahad.

Najib yang tiba di Dewan Seri Pinang pada kira-kira pukul 10.15 pagi diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang juga Presiden Gerakan serta beberapa menteri Kabinet termasuk Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai, yang juga Timbalan Presiden MCA dan Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, merangkap Naib Presiden MCA.

Perdana Menteri berkata mendiang Dr Lim membawa Gerakan menyertai BN ketika itu disebabkan kepercayaan dan keyakinan terhadap kepimpinan Perdana Menteri semasa itu Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Najib berkata kerajaan menghargai jasa mendiang Dr Lim yang telah memberi sumbangan kepada negara dan pembangunan Pulau Pinang.

"Kerajaan dan rakyat tentu sekali akan mengenang jasa beliau tetapi dari sudut keluarga saya ingin melahirkan penghargaan atas keyakinan dan hubungan akrab yang terjalin selama ini yang memberi banyak manfaat kepada rakyat Pulau Pinang dan negara," katanya.

Mendiang Dr Lim pernah menjadi ketua menteri kedua Pulau Pinang dan memegang jawatan itu selama 21 tahun dari Mei 1969 hingga Oktober 1990.

Beliau pernah menjadi presiden MCA sebelum meninggalkan parti itu dan menjadi presiden parti Gerakan selama sembilan tahun mulai 1971 dan di bawah kepimpinannya, Gerakan menyertai BN pada 1972.

Semasa pentadbirannya, Dr Lim banyak menyumbang kepada pembangunan Pulau Pinang antaranya membangunkan kawasan Zon Perdagangan Bebas (FTZ) yang kini dikenali sebagai Zon Perindustrian Bebas (FIZ) dan mercu tanda Pulau Pinang, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini yang menempatkan pentadbiran kerajaan negeri.

Dr Lim, 91 meninggal dunia malam Khamis lepas di kediamannya di Hillside, Tanjung Bungah, George Town, Pulau Pinang setelah diserang angin ahmar sejak sebulan lalu.

Beliau meninggalkan seorang balu Toh Puan Goh Sing Yeng, 85, dan empat orang anak, dua lelaki, Chien Aun dan Chien Cheng serta dua perempuan, Pao Lin dan Pao Yen. Jenazah Dr Lim akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Cina Batu Gantung di sini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain