suria

Kongres Nasional PKR: Tiada Tempat Untuk Pelagak 'Dewa' Dalam Parti

PETALING JAYA: Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) diingatkan supaya tidak merasakan diri mereka sebagai 'dewa' hingga enggan menerima kritikan yang disuarakan oleh ahli.

Justeru perwakilan Pahang, Ahmad Nizam Abdul Hamid memberi amaran kepada pemimpin seperti itu bahawa sikap kepimpinan berkenaan tidak mempunyai tempat dalam PKR.

"Jika pemimpin sudah merasakan diri mereka 'dewa', yang tak boleh ditegur atau dikritik... awas! Kerana parti ini ditubuhkan atas jiwa merdeka, kita diajar untuk berani kerana benar.

"Tapi pemimpin yang merasakan diri mereka 'dewa', tidak ada tempat untuk mereka dalam perjuangan ini," tegasnya ketika membahaskan usul perberdayaan demokrasi pada Kongres Nasional (PKR) ke-7 di sini, Ahad.

Tegas beliau, kesetiaan yang diamalkan ahli PKR bukanlah sesuatu yang mutlak atau secara membuta-tuli namun berasaskan prinsip perjuangan sebenar.

Selain itu beliau menggesa ahli PKR agar berwaspada terhadap agenda 'pembersihan' yang dilaung-laungkan sesetengah pemimpin parti.

Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap agenda pembersihan 'gang of four' atau 'kumpulan berempat' yang mula kedengaran dalam parti kerana mungkin tidak berasaskan kepada hujah dan alasan kongkrit.

"Sekarang ini kita dengar sudah ada kecenderungan untuk melakukan pembersihan yang saya lihat gagal mengotakan dalilnya dan asas kepada hujah kongkrit dan intelektual.

"Saya lihat kecenderungan untuk membuat pembersihan ini tidak lebih daripada mainan emosi semata-mata.

"Kebimbangan saya ialah berkaitan soal pembersihan apabila sudah ada yang digelar 'gang of four' kerana jika tersalah langkah, parti kita akan longgar dengan sendiri," katanya.

Ahmad Nizam yang juga Ketua Cabang Temerloh bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai 'kumpulan berempat' yang dimaksudkannya itu.

Ketika ditemui media selepas itu, Ahmad Nizam tetap enggan mendedahkan mengenai maksudnya itu.

Menurut beliau apa yang diperkatakannya itu adalah berdasarkan cakap-cakap di kalangan akar umbi.

Ditanya sama ada label 'kumpulan berempat' itu ditujukan kepada Naib Presiden PKR, Azmin Ali yang bakal diumumkan sebagai pemenang jawatan Timbalan Presiden, Ahmad Nizam enggan mengulas lanjut.

Azmin sebelum ini pernah berikrar untuk membersihkan parti itu daripada 'pengkhianat' yang bertindak merosakkan imej PKR sepanjang proses pemilihan parti itu baru-baru ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain