suria

Jawatan Ketua Umum: Usul Ditolak, Zuraida Label Penyibuk

PETALING JAYA: Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin menempelak media dengan menggelarkan mereka 'penyibuk' apabila menyiarkan berita mengenai usulnya yang mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Ketua Umum parti itu.

Beliau yang seolah-olah kecewa ekoran usul itu ditolak pucuk pimpinan parti mendakwa, media mahupun mana-mana pihak tidak berhak untuk mengambil tahu dan campur tangan dalam urusan parti itu.

"Saya hendak sentuh sedikit mengenai laporan Facebook dan akhbar mengenai usul yang saya bawa supaya jawatan Ketua Umum diisytiharkan secara rasmi. Tapi kenapa cadangan ini mereka nak sibuk?

"PKR ini siapa punya? Kita yang punya mereka nak sibuk mengapa? Kita hendak letak kerusi (Ketua Umum) itu di atas ke, di bawah ke, suka hati kitalah," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR di Dewan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini, Ahad.

Jumaat lalu, Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang mengusulkan agar jawatan Ketua Umum diwujudkan dan digubal serta dalam Perlembagaan parti sebagai pengiktirafan kepada Anwar.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin mengusulkan supaya bekas Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali dilantik sebagai Tokoh Reformasi dan Perjuangan Rakyat.

"Saya ingin membuat usul khas pada kongres ini terhadap Dr Syed Husin kerana menyedari semangat beliau terhadap perjuangan rakyat. Saya amat menghargai komitmen beliau terhadap demokrasi rakyat.

"Jadi saya ingin mengusulkan pada kongres ini supaya melantik beliau sebagai Tokoh Reformasi dan Perjuangan Rakyat sebagai menghargai jasa dan pengorbanannya terhadap parti. Saya harap usul ini akan diterima sebulat suara oleh ahli dan perwakilan yang hadir pada hari ini," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain