suria

Malaysia Pilih Rakan Kongsi Sebagai Tapak Pengeluaran Makanan Di Luar Negara

SERDANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan berhasrat memilih beberapa buah negara sebagai rakan kongsi sebagai tapak penghasilan makanan utama Malaysia.

Beliau berkata, kawasan-kawasan tertentu di negara terbabit akan dimajukan kerana kos jauh lebih murah bagi menambahkan lagi kawasan tanaman padi untuk negara ini.

"Kita akan lihat kemungkinan kita boleh memajukan kawasan di luar negara kerana kosnya jauh lebih rendah daripada kos untuk kita menambahkan lagi kawasan tanaman padi dalam negara kita.

"Ia merupakan salah satu langkah yang dilaksanakan bagi mengekalkan bekalan makanan negara. Kita telah mengambil langkah dan akan terus ambil langkah untuk meningkatkan tahap pengeluaran makanan negara," katanya kepada pemberita selepas melancarkan secara serentak Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia Antarabangsa (MAHA 2010) dan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2010 di sini, Sabtu.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

Dalam pada itu, Najib berkata, langkah mencari kawasan baru itu bukan satu keperluan yang mendesak kerana apa yang lebih penting adalah daya pengeluaran sesuatu tanaman itu harus dipertingkatkan melalui penggunaan benih yang baru, teknologi dan infrastruktur yang baik.

Perdana Menteri yakin langkah-langkah yang sedang dan akan diambil itu dapat membendung kemungkinan berlakunya krisis makanan.

"Krisis makanan ialah harga pasaran terlalu tinggi atau bekalan berkurangan pada masa akan datang," jelas beliau.

Sementara itu, Najib berkata kesan bencana alam akan menjejaskan daya pengeluaran makanan.

"Perubahan kepada iklim ini sudah menjadi fenomena global yang mana tidak ada satu negara pun terlepas daripadanya. Apa yang penting bagaimana kita boleh bertindak sebagai negara-negara dunia secara selaras untuk membendung kesan dari perubahan iklim ini," katanya.

Najib berkata sektor pertanian kekal berkembang setelah menyumbang sebanyak RM10.1 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku kedua tahun ini, iaitu peningkatan sebanyak 2.4 peratus berbanding tempoh sama tahun 2009.

Daripada jumlah itu, sektor agromakanan telah menyumbang RM4.7 bilion iaitu 46.5 peratus, manakala subsektor tanaman, ternakan dan perikanan masing-masing turut mencatat pertumbuhan positif iaitu 9.5 peratus, 13.9 peratus dan 7.8 peratus.

Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM4 bilion menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dalam bidang pembangunan dan penyelidikan (R&D) bagi memastikan keselamatan dan jaminan makanan di negara ini.

Artikel Lain