suria

Kongres Wanita, AMK PKR: 'Kuasa Ketiga' Sulitkan Pakatan Pembangkang

PETALING JAYA: Kewujudan kumpulan yang dikenali sebagai 'Third Force' dalam Pakatan Rakyat bakal menyulitkan gabungan berkenaan untuk menang besar pada pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Senator Dr Syed Husin Ali yang mengakui perkara itu berkata, kumpulan berkenaan perlu ditangani dengan bijaksana dan tidak boleh dipandang ringan.

"Sekarang ada percubaan untuk membentuk apa yang disebut sebagai 'Third Force'. Jika terbentuk, badan ini boleh memberi nafas kepada Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Ia akan juga menyulitkan Pakatan Rakyat untuk mencapai kemenangan besar.

"Perkara ini pelu ditangani dengan bijaksana," katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK), di sini, Jumaat.

Tambah Syed Husin lagi, Pakatan Rakyat yang terbentuk oleh PKR-PAS-DAP perlu menjadi hanya satu gabungan yang akan menjadi pilihan rakyat pada pilihan raya akan datang.

Syed Husin yang tidak mempertahankan jawatannya pada pemilihan kali ini berkata, kerjasama antara parti komponen dalam Pakatan Rakyat perlu diperkemaskan terutamanya di peringkat akar umbi.

"Apa yang patut diusahakan ialah memperkukuh kerjasama dan persefahaman di peringkat bawah iaitu di negeri-negeri dan di kawasan Parlimen.

"Selain itu harus digalakkan cara bertindak untuk kebaikan bersama dan bukan keuntungan satu-satu parti tertentu apatah lagi kepentingan persendirian pemimpin yang oportunis dan individualis.

Sementara itu pada sidang media selepas perasmian berkenaan, Syed Husin berkata Pakatan Rakyat tidak boleh mengenepikan terus kumpulan 'Third Force' berkenaan sebaliknya menasihatkan agar satu perbincangan dilakukan bagi mengenali isu sebenar.

"Kita tak perlu tepikan terus, kita perlu bincang juga," katanya.

Sebagai contoh Syed Husin berkata, Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dianggap sebagai 'Third Force' bagi menampung golongan yang enggan memilih Umno namun menghalang mereka daripada menyertai pembangkang.

"Seperti apa yang dikatakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Perkasa adalah 'Third Force' bagi Umno.

"Tapi kita tak mahu kalau ada 'Third Force' dalam Pakatan, yang akhirnya akan menguntungkan parti lawan," katanya.

Artikel Lain