suria

Kongres Nasional PKR: Wan Azizah Akan Hukum 'Rakan-Rakan' Yang Bersalah Semasa Pemilihan

PETALING JAYA: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memberi jaminan akan mengambil tindakan tegas terhadap amalan salah laku yang melanggar peraturan sepanjang proses pemilihan parti itu baru-baru ini.

Bagaimanapun katanya sebagai sebuah parti yang memperjuangkan keadilan, parti itu perlu adil dalam 'menghukum rakan-rakan sendiri'.

"Dalam melaksanakan proses pemilihan ini, memang banyak juga aduan dan rungutan telah diterima.

"Bagi kes yang jelas dengan bukti yang nyata, kita telahpun bertindak melakukan siasatan.

"Bagaimanapun kita yang memperjuangkan keadilan perlu juga berlaku adil dalam menghukum rakan-rakan kita sendiri," katanya semasa menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Kongres Nasional PKR ke-7 di sini, Sabtu.

Tegas Dr Wan Azizah lagi, PKR tidak akan menghukum ahli-ahlinya hanya berdasarkan tuduhan yang tidak berasas.

"Kita juga tidak boleh menghukum sesiapa hanya melalui tuduhan-tuduhan yang lemah asasnya," katanya.

Tegasnya, dakwaan bahawa Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) tidak berfungsi dengan sebaiknya apabila mengabaikan aduan dan bantahan yang disuarakan, perkara berkenaan adalah tidak benar.

Jelasnya siasatan akan dijalankan, namun ia akan memakan masa.

"Wujud juga persepsi bahawa JPP tidak bertindak pantas terhadap rungutan yang kukuh, semua pandangan kita sedia menerimanya secara terbuka.

"Kita juga bersedia menerima sebarang maklumbalas dan cadangan penambahbaikan, namun sudah pasti ini semua akan memakan masa," katanya.

Dr Wan Azizah juga mengingatkan kepada anggota PKR agar menyuarakan sebarang ketidakpuasan melalui saluran yang betul tanpa mendedahkan kelemahan parti kepada pihak musuh.

"Usah serahkan tengkok kita kepada pihak media musuh dengan mendedahkan kelemahan kita.

"Parti ini adalah sandaran seluruh rakyat segala lapisan yang memerlukan pembelaan...kita tidak rela sama sekali melihat parti ini lemah dan hancur," katanya.

Sementara itu, beliau menggesa agar ahli PKR kembali merapatkan saf perjuangan tanpa mengira kumpulan yang kalah atau menang pada pemilihan yang lalu.

Katanya, pemimpin yang menang perlu bersama-sama berpadu tenaga dengan yang kalah bagi mempersiap-sediakan parti untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Apa pun, kita tidak punya pilihan kecuali untuk bersiap sedia secukupnya kerana kita memikul amanah besar untuk membela rakyat. Kalau ada parut luka, hilangkan parutnya.

"Kalau ada sedikit calar balar, gilapkan supaya semangat juang kembali tinggi untuk dengan musuh.

"Amanah untuk membela rakyat dengan mengangkat martabat negara adalah lebih besar daripada parut atau calar kita," katanya.

Artikel Lain