suria

Kongres Nasional PKR: Usia 80 Tahun Tak Halang Wakil Perlis Ingatkan Anwar

PETALING JAYA: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim diingatkan supaya tidak melatah atau mudah 'menyalak' apabila berhadapan dengan masalah yang berlaku dalam parti.

Perwakilan Perlis, Wan Khazim Wan Din berkata, Anwar perlu berhati-hati agar tidak jatuh ke perangkap musuh yang cuba mengkucar-kacirkan parti.

"Mungkin saya bercakap sedikit kasar, tapi saya ingatkan Anwar jangan menyalak kepada anjing yang sedang menyalak, kalau buat juga jadilah anjing," katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Kongres Nasional PKR Ketujuh di sini, Sabtu.

Menurut perwakilan yang berusia 80 tahun itu, hanya pemimpin yang tidak waras akan cepat melatah dengan tindakan beberapa ahli atau pihak luar yang cuba merosakkan PKR.

"Kalau kita melatah dan menyalak kembali kepada orang yang tengah membuat bising kerana jika bertindak demikian, orang lain akan anggap kita sebagai tidak waras," katanya.

Selain itu, beliau turut mengingatkan wakil-wakil rakyat dari parti itu agar sentiasa turun padang bagi mendekati dan terus berkhidmat kepada rakyat di kawasan masing-masing.

"Mereka perlu ingat tugas mereka, dan apabila kalah pilihan raya bukannya bererti kita terus kalah dalam perjuangan kita," katanya.

Artikel Lain