suria

Kongres AMK PKR: Perwakilan Gesa Shamsul Iskandar, Chegu Bard Berdamai

PETALING JAYA: Isu persaingan merebut jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) di antara penyandangnya, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Badrul Hisham Shahrin menjadi antara isu utama yang dibangkitkan perwakilan pada Kongres AMK.

Rata-rata perwakilan menyuarakan kegusaran mereka berhubung kontroversi persaingan kedua-dua pemimpin berkenaan kerana dikuatiri akan merugikan sayap itu dan parti secara keseluruhannya.

Perwakilan Sabah, Abdul Razak Jamil berkata, kedua-dua pemimpin muda terbabit seharusnya bergabung tenaga dan idea demi memantapkan parti.

"Kami berharap agar Badrul Hisham dan Shamsul Iskandar bergabung semula kerana matlamat utama kita ialah untuk menawan Putrajaya dan mempersiap-sediakan PKR menghadapi pilihan raya umum ke-13, itu yang lebih penting.

"Kita kena anggap pertarungan ini sebagai saingan kekeluargaan, ikutlah pepatah seperti biduk lalu kiambang bertaut," katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Ketua AMK di sini, Jumaat.

Pada pemilihan parti yang berakhir Ahad lalu, Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard dipercayai ketinggalan lebih 1,000 undi di belakang Shamsul Iskandar.

Malah beliau turut mencetuskan kontroversi apabila mendakwa wujudnya beberapa salah laku sepanjang proses pemilihan yang lalu termasuk tindakan mengubah jumlah undi yang sebenar dengan tujuan untuk memenangkan pihak tertentu.

Sementara itu perwakilan Pulau Pinang, Syed Mikail Nizal Aidid berkata, keistimewaan yang terdapat pada kedua-dua pemimpin itu perlu digunakan dengan sebaik mungkin tanpa mempersiakan peranan dan kemampuan mereka.

"Shamsul ada kekuatan manakala Chegu Bard pula ada keberanian... jadi kita perlu gabungkan kedua-dua kekuatan ini.

"Ini adalah harapan besar kami sebagai perwakilan dan juga ahli, ini adalah pertandingan adik beradik," katanya.

Jelasnya segala perbalahan, pertikaman atau perasaan tidak puas hati sesama sendiri perlu dilenyapkan selepas berakhirnya pemilihan kali ini bagi mengelakkan PKR terdedah kepada pelbagai dakwaan yang boleh memburukkan parti.

"Kita tak mahu semua isu yang timbul semasa pemilihan ini menjadi bahan yang atau senjata oleh pihak luar untuk memfitnah parti kita ini," katanya.

Artikel Lain