suria

Kerajaan Mungkin Adakan Pakatan Strategik Bagi Tapak Pengeluaran Makanan Di Luar Negara - Najib

SERDANG: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata kerajaan mungkin akan mengadakan pakatan strategik dengan beberapa buah negara bagi menjadikan suatu kawasan di negara tersebut sebagai tapak pengeluaran makanan negara.

“Kita akan lihat kemungkinan kita boleh memajukan kawasan di luar negara kerana kosnya jauh lebih rendah daripada kos untuk kita menambahkan lagi kawasan tanaman padi dalam negara kita,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan serentak Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) Antarabangsa dan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2010 di sini.

“Ia merupakan salah satu langkah yang dilaksanakan bagi mengekalkan bekalan makanan negara. Kita telah mengambil langkah dan akan terus ambil langkah untuk meningkatkan tahap pengeluaran makanan negara,” katanya.

Namun, katanya, pertambahan kawasan baru bukan satu keperluan yang mendesak kerana apa yang lebih penting adalah daya pengeluaran sesuatu tanaman itu harus dipertingkatkan melalui penggunaan benih yang baru, teknologi dan infrastruktur yang baik.

Perdana Menteri yakin langkah-langkah yang sedang dan akan diambil itu kelak dapat membendung kemungkinan berlakunya krisis makanan seperti harga pasaran terlalu tinggi atau kekurangan bekalan, pada masa akan datang.

Berikutan krisis makanan dunia pada tahun 2008, Malaysia telah melaksanakan beberapa langkah berterusan di bawah Dasar Jaminan Bekalan Makanan bagi meningkatkan pengeluaran makanan dalam negara.

Sementara itu, Najib berkata kesan bencana alam akan menjejaskan daya pengeluaran makanan.

"Perubahan kepada iklim ini sudah menjadi fenomena global yang mana tidak ada satu negara pun terlepas daripadanya. Apa yang penting bagaimana kita boleh bertindak sebagai negara-negara dunia secara selaras untuk membendung kesan dari perubahan iklim ini,” katanya.

Najib berkata sektor pertanian kekal berkembang setelah menyumbang sebanyak RM10.1 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku kedua tahun ini, iaitu peningkatan sebanyak 2.4 peratus berbanding tempoh sama tahun 2009.

Daripada jumlah itu, sektor agro-makanan telah menyumbang RM4.7 bilion iaitu 46.5 peratus, manakala sub-sektor tanaman, ternakan dan perikanan masing-masing turut mencatat pertumbuhan positif iaitu 9.5 peratus, 13.9 peratus dan 7.8 peratus. - BERNAMA

Artikel Lain